KUALA TERENGGANU: Gajah betina liar yang ditangkap di Kampung Jeram, dekat sini Sabtu lepas, akan dilepas ke habitat baharu di Taman Negeri Royal Belum, Perak hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata 22 kakitangan termasuk dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka dan dua pekerja Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah terlibat dalam operasi pemindahan yang bermula 8 pagi tadi.
Beliau berkata operasi pemindahan menggunakan bantuan dua gajah denak mengambil masa lebih dua jam dan hidupan liar tersebut dalam keadaan selamat serta stabil.
"Petugas terdiri daripada 13 kakitangan Perhilitan Terengganu, Pusat Konservasi Sungai Deka (tujuh orang) dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (dua orang).
"Gajah berkenaan dipindahkan ke habitat baharu dengan bantuan dua gajah denak iaitu Indah dan Suria. Kelancaran operasi berkenaan hasil kerjasama pelbagai agensi yang membantu pihaknya sepanjang proses menangkap, mengurus dan memindahkan gajah tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Jeram, Nur Azlin Zakaria, 35, berkata sejak Ahad lepas lokasi berkenaan menjadi tumpuan orang ramai yang datang untuk melihat sendiri haiwan tersebut dari dekat.
Beliau berkata situasi tersebut turut membuka rezeki kepada peniaga kecil yang datang berniaga pelbagai jenis makanan serta minuman.
"Suasana di Kampung Jeram sejak sehari dua ini agak meriah dengan kehadiran pengunjung dari luar yang mahu melihat sendiri Mek Jeram secara dekat, memandangkan sebelum ini hanya dapat melihat haiwan liar itu menerusi dalam talian.
"Sepanjang di sini, penduduk kampung turut mengambil kesempatan memberi makan kepada gajah berkenaan. Walaupun bersama dalam masa singkat, kami pasti akan merindui Mek Jeram dan berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan habitat baharu," katanya ketika ditemui di Kampung Jeram di sini.
-- BERNAMA