Gajet peribadi yang berteknologi tinggi seperti telefon, iphones, notebook, adalah antara yang memberi kemudahan di hujung jari di samping menyenangkan kehidupan harian pengguna.

Semua gajet ini begitu mempengaruhi kehidupan hari ini. Kita berkomunikasi menerusi suara dan mendapatkan maklumat, menyiapkan tugas dan malahan menyimpan maklumat rahsia peribadi menerusi gajet berkenaan.

Namun gajet elektrik juga mempunyai kelemahan. Selain menghadkan interaksi bersemuka, ia juga berkompromi dengan keselamatan data peribadi.

Bayangkan apabila anda kehilangan gajet berkenaan, sebenarnya anda bukan setakat kehilangan gajet malahan maklumat peribadi seperti nombor pin, alamat, gambar dan data peribadi lain yang disimpan dalamnya.

Oleh itu, pemilik gajet berkenaan adalah terdedah kepada unsur-unsur jenayah. Apabila data peribadi pemilik gajet diperoleh oleh penjenayah, mereka bukan sahaja boleh mengeluarkan wang pemilik dari akaun bank atau untuk tujuan ugutan, malahan mereka boleh terpacul di depan pintu rumah pemilik gajet.

Gajet mudah alih ini juga senang jatuh ke tangan mereka yang tidak diingini apabila pemiliknya lalai atau ia dicuri.

Tambahan pula, kemudahan internet Wifi percuma yang disediakan pihak restoran pula, akan menggalakkan orang ramai membawa komputer bimbit masing-masing dan duduk berlama-lamaan bersama rakan sehingga dinihari.

Golongan ini kebanyakannya remaja dan pelajar, yang mungkin pada mula alasannya untuk bersama-sama membuat tugasan, namun tidak sedar kemudahan internet itu boleh mengundang malapetaka kepada mereka sendiri dan pemilik restoran.

Rompakan di sebuah restoran mamak 24/7 yang terkenal di Shah Alam pada tahun lepas, yang mana klip video dari kamera litar tertutupnya yang memaparkan kejadian itu dimuatnaik dalam laman sosial jelas menunjukkan pemilik gajet yang menggunakannya di tempat awam terdedah kepada penjenayah.

Dalam kejadian itu juga, beberapa pelanggan lain dirompak.

Ini adalah antara tempat yang paling senang anda boleh kehilangan gajet peribadi.

Bukan itu sahaja, malah sikap sesetengah mereka yang suka mengambil mudah, meletakkan telefon bimbit di atas meja makan di restoran, meletakkan beg di kedai makan atau hotel atau di kerusi tanpa perhatian semasa mengambil makanan -- juga boleh mengundang penjenayah untuk melakukan kerja terkutuk itu.

Pengurus projek Vitaldelta Sdn Bhd, Syahrul Izwan Abdul Wahab ketika mengimbas kembali kejadian di sebuah restoran di Shah Alam, berkata, rakannya yang sedang berbual bersama-sama yang lain didatangi oleh seorang pemuda yang tidak dikenali dan memberi salam sebelum melarikan telefon bimbit yang diletakkan di atas meja.

"Tiada unsur pukau berlaku, tetapi mereka terkejut dengan tindakan pemuda berkenaan dan terpinga-pinga dengan kejadian itu," kata bapa kepada tiga anak itu.

"Tetapi sejak kejadian di Shah Alam, dan kejadian di mana penjenayah merompak telefon bimbit rakan saya semasa sedang makan dan berbual-bual, saya mengambil langkah berhati-hati tidak membawa peralatan ke restoran. Saya akan buat kerja di rumah atau pejabat sahaja," katanya.

Tempat letak kereta juga adalah tidak selamat namun pemilik kenderaan masih mengamalkan sikap meninggalkan peralatan seperti notebook dalam kenderaan dan ini sememangnya menarik perhatian pencuri.

Rakan penulis pernah mengalami kerugian beratus ringgit menggantikan cermin belakang keretanya kerana kereta dipecahkan semasa diletakkan di sebuah tempat letak kereta kerana meninggalkan sebuah fail mesyuarat yang hanya berisi beberapa helai kertas kosong, pen dan aturcara majlis -- yang dianggap berisi barang berharga oleh penjenayah berkenaan.

Selain itu, sikap mengambil mudah juga perlu diubah dengan meninggalkan barang-barang berharga ataupun beg dalam kereta, kerana nanti kita tidak mahu kembali ke kereta dengan cermin tingkapnya pecah dan terpaksa menggantikannya yang tentunya berharga ratusan ringgit.

Paling tidakpun, kalau tidak mahu membawanya bersama, sorokkanlah barang-barang dan alat elektronik itu di tempat yang sesuai dan bukannya diletakkan di tempat yang boleh orang yang lalu lalang melihatnya kerana ia adalah satu peluang jenayah.

Penulis juga ada menerima e-mel daripada seorang rakan yang mengingatkan supaya tidak meninggalkan alat pengesan kedudukan global atau singkatannya GPS dan alat kawalan jauh pagar elektrik dalam kereta.

Amaran itu juga menyebut berkemungkinan sekiranya kereta dicuri, penjenayah berpeluang untuk menggunakan kedua-dua alat itu pulang ke rumah pemilik kenderaan dan kemudian merompak di rumah pula, sedangkan jiran-jiran tidak perasan bahawa bukan tuan rumah yang pulang!

Begitu juga dengan memasukkan nama isteri atau suami dengan gelaran manja seperti 'sayang' atau 'ayang' dalam telefon bimbit, yang kemudiannya dicuri yang membolehkan si penjenayah mengirim sistem pesanan ringkas kepada suami atau isteri itu meminta kata laluan dan sebagainya untuk mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM).

Penganalisis Jenayah Kamal Affendi Hashim yang mengulas isu ini berpendapat masyarakat perlu mengurus risiko-risiko ini dengan baik supaya kelak mereka sendiri tidak menjadi mangsa atas kejadian seumpama.

Katanya, dalam pengurusan risiko peluang untuk berlakunya jenayah, masayarakat tidak hanya boleh bergantung kepada polis dalam setiap hal tetapi perlu mengambil inisiatif sendiri.

"Kalau kita mengambil sikap sambil lewa, kita wajar untuk menyalahkan diri sendiri. Walaupun saya tak dapat pastikan kebenaran kejadian sama ada berlaku atau tidak kejadian dalam e-mel itu, kita perlu mengambil pengajaran daripadanya," katanya, yang juga anggota exco Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Beliau berkata orang ramai perlu mengambil inisiatif untuk tidak meletakkan segala-gala maklumat peribadi dalam telefon bimbit kerana ia boleh mengundang bahaya sekiranya ia hilang, tercicir atau dicuri.

"Masalah kita ialah keengganan melihat diri sendiri menjadi mangsa. Ini perlu diperbetulkan. Siapa tahu kelak kita sendiri akan menjadi mangsa, komputer riba kita pula yang dirompak," katanya yang juga anggota Persatuan Kaji Jenayah British dan Persatuan kaji Jenayah Amerika Syarikat.

Pada masa sama, masyarakat perlu melaporkan kepada polis mengenai pihak-pihak yang cuba menjual telefon bimbit, komputer bimbit dengan harga yang sangat murah dan sukar diterima akal kerana ini berkemungkinan barang curi.

Membeli barang curi adalah satu kesalahan kerana bersubahat, katanya.