MALAYSIA

'Gaji minimum bukan gaji permulaan' - Steven Sim

Yasmin Natasha 01/12/2025 | 07:04 MYT
Steven Sim berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) Ke-14 antara Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia di Wisma Genting di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Majikan diingatkan agar tidak menjadikan kadar gaji RM1,700 sebulan di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) sebagai asas menetapkan gaji permulaan bagi graduan atau pekerja baharu memasuki pasaran kerja.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kekeliruan itu perlu dihentikan kerana gaji minimum hanyalah ‘jaring keselamatan’ bagi pekerjaan paling asas dan berkemahiran rendah.

“Saya selalu kata, gaji minimum ini bukan gaji permulaan.

"Adalah tidak wajar apabila graduan universiti menganggap gaji permulaan mereka hanya sekitar RM1,700 sedangkan kadar itu ditetapkan untuk peranan paling asas," katanya semasa dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) Ke-14 antara Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia di Wisma Genting di sini, hari ini.

Tambah beliau, bagi menangani perkara itu, kementerian memperkenalkan panduan gaji sektor pekerjaan sebagai rujukan rasmi kepada majikan dan pekerja ketika proses rundingan gaji.

Panduan tersebut menyenaraikan skala gaji permulaan mengikut bidang antaranya jurutera awam, pereka grafik dan wartawan yang semestinya perlu mendapat gaji lebih tinggi daripada gaji minimum.

“Panduan ini tidak wajib, tetapi ia membantu rundingan. Fresh grads masuk temu duga pun dah tahu julat gaji mereka. Jangan sampai kena tipu.

“Kalau kita set gaji bawah terlalu rendah, gaji orang atas dan tengah akan terjejas. Sebab itu untuk naikkan gaji secara menyeluruh, lantai bawah mesti munasabah dan menghormati martabat manusia," katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan melalui model gaji progresif menyediakan subsidi, insentif dan latihan kemahiran bagi menggalakkan syarikat menaikkan gaji secara berperingkat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan syarikat supaya memastikan keuntungan diagihkan secara adil.

“Syarikat mesti untung, kalau tidak pekerja hilang kerja. Tapi bila sudah untung, kita tidak boleh fikir pemegang saham saja. Kena fikir bagaimana keuntungan itu boleh dinikmati seluruh warga kerja," ujarnya lagi.







#Steven Sim #gaji minimum #graduan #tenaga kerja