NATIONAL
Gaji minimum naik, hidup masih statik
Masih ramai yang bergelut meskipun dengan kenaikan kadar gaji sebanyak RM200. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR:
Ringkasan AI
Namun, realitinya masih ramai yang bergelut meskipun dengan kenaikan kadar gaji sebanyak RM200. Bagi sebahagian besar pekerja bawahan, perubahan tersebut tidak memberi kesan yang signifikan.
Kerajaan telah menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari lalu, sebagai usaha memastikan rakyat memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk menampung keperluan asas dan mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.
Ringkasan AI
- Kerajaan telah menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari lalu untuk membantu rakyat menampung keperluan asas dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.
- Walaupun terdapat kenaikan gaji, ramai pekerja masih bergelut dengan beban hutang, komitmen bulanan, dan kenaikan harga barangan asas. Kenaikan gaji tidak memberi kesan signifikan kepada kebanyakan pekerja bawahan.
- Ramai pekerja terpaksa mencari pendapatan tambahan untuk mencukupkan perbelanjaan bulanan. Contohnya, seorang guru tadika menjana pendapatan tambahan dengan menyediakan perkhidmatan menghantar dan mengambil pelajar.
Mereka terus dihimpit beban hutang, komitmen bulanan, serta kenaikan harga barangan asas yang tidak menurun.
Menurut Muhd Nazrin Mohd Zain, seorang pembantu stor, kenaikan gaji yang diterima tidak memberi pulangan yang besar selepas ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Memang tak cukup langsung, terutamanya bagi yang sudah berkahwin, pendapatan ini jauh daripada mencukupi,” katanya.
Antara komitmen bulanan Muhd Nazrin termasuk bayaran pinjaman motosikal sebanyak RM363, bil utiliti RM250, serta berkongsi bayaran kereta dengan isteri sekitar RM300 - keseluruhannya mencecah kira-kira RM1,000, hampir menyamai jumlah gajinya.
Jelas Nazrin, dia juga tidak makan di luar dan tidak melakukan sebarang aktiviti hiburan demi berjimat.
“Saya hanya mampu bertahan, bukan menikmati hidup,” katanya.
Tambahnya, gaji minimum yang wajar bagi menampung perbelanjaan bulanan seseorang yang mempunyai tanggungan adalah sekurang-kurangnya RM2,000.
Bagi Thomas Tan Tian Xiang, seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bekerja sebagai pembantu kerani di sebuah pertubuhan masyarakat Cina dengan gaji RM1,900 sebulan, realiti kehidupan tetap mencabar.
"Meskipun tidak perlu membayar sewa rumah atau ansuran kereta, sebahagian besar pendapatan tetap dihabiskan untuk makanan dan kos pengangkutan harian.
“Kalau hujan atau letih sangat, saya naik e-hailing. Tapi itu sudah jadi beban tambahan,” katanya.
Thomas kini sedang berusaha mengumpul wang untuk membeli kenderaan, dengan mengurangkan perbelanjaan makan hariannya.
“Saya nak beli kereta dan rumah, tapi dengan gaji sekarang, memang tak realistik," katanya.
Jelasnya, dia hanya bergantung kepada kerja tetapnya dan berharap akan ada pelarasan gaji pada masa hadapan - walaupun sedar proses itu mungkin mengambil masa yang lama.
Dia kini aktif mencari kerja sambilan yang sesuai bagi menambah pendapatan tanpa menjejaskan kerja utama, dengan harapan untuk memiliki kereta dan menyimpan sedikit wang dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sementera itu, bagi Mageswari, seorang guru tadika dengan lebih 20 tahun pengalaman, dia hanya menerima gaji RM1,500 sebulan.
Walaupun ini peningkatan RM800 daripada gaji permulaannya sebanyak RM700, ia hanya mewakili kenaikan 114% dalam tempoh dua dekad - menunjukkan betapa perlahan pertumbuhan gaji, dan tekanan kewangan yang masih menghimpit.
Menurutnya, sebelum pandemik COVID-19, gajinya kekal RM1,200 selama enam tahun dan hanya dinaikkan tahun ini - bukan kerana dasar kerajaan, tetapi kerana tadika berjaya memperoleh sekitar 30 pelajar tahun ini, sekali gus meningkatkan pendapatan.
“Gaji kami banyak bergantung kepada bilangan pelajar. Kalau ekonomi merosot dan pelajar kurang, tadika tak mampu bayar lebih kepada guru," katanya.
Untuk mencukupkan perbelanjaan, dia turut menjana pendapatan tambahan dengan menyediakan perkhidmatan menghantar dan mengambil pelajar - termasuk pelajar tadika dan sekolah rendah berdekatanyang menyumbang purata RM1,000 sebulan.
Dia mengakui bahawa gaji sebagai guru tadika sahaja tidak cukup untuk menampung kos hidup, dengan suaminya menanggung kebanyakan perbelanjaan isi rumah.
“Nasib baik anak-anak saya semua dah besar dan kami dah habis bayar rumah dan kereta, jadi tekanan kewangan agak ringan sekarang," katanya.
Namun, dia menegaskan tanpa pendapatan tambahan, sukar untuk menghadapi perbelanjaan luar jangka hanya dengan gaji asas.