Skip to main content

Malaysia

Gaji minimum RM2,000 ambil kira kepentingan majikan, pekerja - MPGN

Kerajaan memberikan panduan dan pihak pekerja memberikan pandangan masing-masing termasuk majikan.  - Gambar hiasan
Kerajaan memberikan panduan dan pihak pekerja memberikan pandangan masing-masing termasuk majikan. - Gambar hiasan

Advertisement

PUTRAJAYA: Penetapan kadar gaji minimum RM2,000 dibuat berdasarkan kajian menyeluruh terhadap keadaan ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan pekerja dan majikan, kata Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Beliau berkata kajian dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk ahli akademik dilaksanakan bermula awal tahun ini bagi mengumpul data terkini sebagai asas analisis dan unjuran penetapan kadar gaji berkenaan.

“Kerajaan memberikan panduan dan pihak pekerja memberikan pandangan masing-masing termasuk majikan. 

“Kami mengambil pendekatan jalan tengah yang memberi manfaat dan keseimbangan kepada pekerja serta majikan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Zainal Rahim berkata penetapan kadar gaji minimum perlu mengambil kira keperluan pekerja untuk memperoleh pendapatan yang munasabah bagi menampung kos kehidupan dan meningkatkan kuasa beli tanpa mengabaikan keupayaan majikan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berharap majikan akan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk merealisasikan kadar gaji baharu itu.

“Yang penting, semua pihak perlu sedar akan tanggungjawab bersama dalam menentukan hala tuju negara untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan memastikan kita tidak ketinggalan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027 yang akan memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Anwar berkata PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang untuk penyesuaian model perniagaan.

Beliau berkata kerajaan juga akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenal gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement