[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Gaji RM2,000 di luar bandar belum cukup untuk menyimpan

Astro Awani 04/05/2025 | 03:50 MYT
Mohd Zaki berkata, perbelanjaan bulanan untuk makanan sahaja boleh mencecah RM1,800 hingga RM2,000 sebulan
KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu traktor, Mohd Zaki Sulong, 51, mengakui, gaji bersih sekitar RM2,000 hingga RM2,200 sebulan tidak mencukupi apabila sebahagian besar pendapatannya digunakan untuk membeli barangan dapur dan makanan harian.

Ringkasan AI
  • Mohd Zaki Sulong, seorang pemandu traktor, mengakui bahawa gaji bersih sekitar RM2,000 hingga RM2,200 sebulan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya, terutama untuk membeli barangan dapur dan makanan harian yang semakin mahal.
  • Perbelanjaan bulanan untuk makanan sahaja boleh mencecah RM1,800 hingga RM2,000 sebulan. Kos barangan kering dan basah meningkat, menyebabkan perbelanjaan makan menjadi keutamaan kerana lima daripada tujuh anaknya masih bersekolah.
  • Mohd Zaki terpaksa mencari kerja sambilan seperti membersih kebun dan mengutip kelapa untuk menambah pendapatan. Mujurlah ada anak yang sudah bekerja membantu dari segi kewangan, namun mereka tetap merasakan tekanan akibat kenaikan harga barang.

"Sekarang ni barang makan makin mahal, bila dapat gaji terus habis beli barang dapur. Biasanya sekali beli barang kering habis dalam RM600 ke RM700, tapi kadang-kadang lebih sampai RM800 pun ada.
“Barang basah pula macam ikan, ayam, sayur, dua hingga tiga hari sekali beli, sekali beli paling kurang RM60 ke RM70, kalau lauk mahal sikit boleh cecah lebih RM100.
"Belanja keseluruhan untuk makan sahaja sekarang boleh mencecah RM1,800 hingga RM2,000 sebulan. Itu bagi saya yang tinggal di luar bandar, yang hari-hari makan di rumah,” katanya yang bekerja di Felcra Bukit Kapah.
Ujar bapa kepada tujuh anak itu, perbelanjaan makan menjadi keutamaan kerana lima daripada anaknya masih bersekolah.
"Dulu boleh jimat, sekarang semua mahal, barang naik, lauk pun naik, makan tengah hari seorang pun dah lebih RM15.
"Mujurlah ada anak yang sudah bekerja membantu saya serba sedikit dari segi kewangan,” katanya.
Tambah Mohd Zaki, isterinya, Nor Azlina Mohd Amin, 47, seorang suri rumah maka dia terpaksa mencari kerja sambilan seperti membersih kebun, menebang pokok atau mengutip kelapa.
“Saya percaya semua orang pun rasa tekanan sebab harga barang makin hari makin naik," katanya.
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dilapor berkata Malaysia kini berada di ambang kemunduran ekonomi sekiranya tiada reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan negara.
Katanya, realiti pendapatan gaji sebenar di Malaysia pada hari ini merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu.
Menurut beliau, gaji graduan pada masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, pendapatan yang diterima jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya mereka peroleh sekiranya kadar inflasi diambil kira.

*Laporan ini hasil kolaborasi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.
#kos sara hidup #gaji rendah #pendapatan rakyat #luar bandar