GEORGE TOWN: Galeri Haji Pulau Pinang merupakan sebuah muzium yang mengetengahkan haji sebagai tema utama pameran menerima pengiktirafan "Malaysia Book of Records' (MBOR) sebagai galeri haji pertama di Malaysia.

Majlis penganugerahan sijil 'Malaysia Book of Records' itu telah diadakan di Galeri Haji Pulau Pinang di Lebuh Acheh, di sini disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR Christopher Wong Hong Wai kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) Mohd Fitri Ibrahim dengan disaksikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Mohd Fitri berkata Galeri Haji Pulau Pinang yang merupakan inisiatif YIPP yang telah dibuka sejak tahun 2015, kini merupakan satu-satunya galeri haji seumpamanya di Malaysia.

"Keunikan utama muzium ini terletak pada bangunannya iaitu No.87 Lebuh Acheh yang pernah digunakan sebagai pusat haji dan pejabat urusan jualan tiket kapal haji yang telah beroperasi dari tahun 1828 hingga tahun 1960-an.

"Selain itu, Galeri Haji Pulau Pinang terletak di dalam 'core zone' Tapak Warisan Dunia, George Town malah lokasi Lebuh Acheh dikenali sebagai 'Little Jeddah' pada masa tersebut kerana menjadi pusat berkumpul jemaah haji sebelum berlepas menaiki kapal haji di Pelabuhan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Fitri berkata Galeri Haji Pulau Pinang itu mempunyai sekitar 40 koleksi barangan haji yang dipamerkan untuk tontonan masyarakat bagi mengetahui mengenai proses mengerjakan haji pada zaman dahulu yang mengguna kapal laut.

Katanya antara koleksi penting ialah buku 'Chateten ka-Tanah Suci', poskod, syiling lama, tong sahara, kiswah dan koleksi gambar-gambar kapal haji yang telah membawa jemaah haji ke Tanah Suci Mekah.

"Galeri Haji Pulau Pinang yang dirasmikan oleh tokoh Islam bertaraf dunia iaitu Mufti Ismail Menk telah menerima 10,000 pelawat dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada kerabat diraja, duta negara asing serta pembesar negara," katanya.

"Pada tahun lepas, Galeri Haji Pulau Pinang telah menerima Anugerah Cemerlamg Warisan 100 tahun Pulau Pinang dari kerajaan negeri dan hari ini, menerima sijil pengiktirafan MBOR. Ini adalah antara penghormatan kepada Galeri Haji Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata YIPP mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa mengangkat dan membantu dalam memartabatkan serta sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan agama Islam di Pulau Pinang.

-- BERNAMA