Gamer Malaysia kongsi ganjaran RM21.7 juta

Sinar Harian
Oktober 19, 2021 00:30 MYT
Jin Xiang membantu pasukannya, PSG.LGD menduduki tempat kedua pada saingan The International 2021 Dota 2 di Romania. - Foto Sinar Harian
SEORANG gamer Malaysia yang terkenal dengan gelaran 'NothingToSay' muncul jutawan selepas merangkul gelaran naib juara pada kejohanan e-sukan paling berprestij di Romania.
Pada saingan The International 2021 Dota 2 itu, 'NothingToSay' atau nama sebenar Cheng Jin Xiang membantu pasukannya yang berpangkalan di China - PSG.LGD menduduki tempat kedua.
Selaku naib juara, PSG.LGD yang diwakili lima pemain termasuk Jin Xiang membawa pulang hadiah AS$5.2 juta (RM21.7 juta).
Untuk rekod, The International 2021 adalah pertandingan e-sukan yang menawarkan hadiah tertinggi dalam sejarah sukan sehingga AS$40 juta (RM166 juta).
Dalam pada itu, dua lagi rakyat Malaysia - Thiay Jun Wen dan Chan Chon Kien yang mewakili satu lagi pasukan berpangkalan di China, Invictus Gaming menduduki tempat keempat, sekali gus memenangi AS$2.4 juta (RM10 juta).
Seorang lagi peserta dari Malaysia, Ng Kee Chyuan yang bersama pasukan berpangkalan di United Kingdom, Fnatic pula terikat di kedudukan kesembilan hingga ke-12 seterusnya memperoleh AS$800,400 (RM3.3 juta).
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#NothingToSay #Jin Xiang #psg lgd #Dota 2