Gamuda naikkan gaji minimum pekerja asing, graduan mulai 1 Mei

Hasimi Muhamad
Mac 23, 2022 07:55 MYT
Gamuda Bhd turut memaklumkan pihaknya menaikkan gaji di peringkat kemasukan bagi graduan baharu yang menyertai Kumpulan Gamuda.- Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd akan menaikkan gaji minimum pekerja asing syarikat itu daripada RM1,200 kepada RM1,600 berkuat kuasa 1 Mei ini.
Penstrukturan semula gaji minimum itu dibuat selaras dengan komitmen Gamuda ke arah yang lebih baik dan mengurangkan ketaksamaan sosial yang semakin teruk.
Menerusi satu kenyataan, Gamuda turut memaklumkan pihaknya menaikkan gaji di peringkat kemasukan bagi graduan baharu yang menyertai Kumpulan Gamuda.
Ia dinaikkan daripada RM3,300 kepada RM3,500 bagi jurutera, sementara RM3,000 kepada RM3,200 untuk graduan bukan bidang kejuruteraan.
Jelas syarikat itu lagi, selain menyediakan Kuarters Buruh Berpusat (CLQ) kepada pekerja asing mereka, Gamuda sentiasa memastikan pekerja mereka tidak terdedah kepada perhambaan jangka panjang.
"Risiko perhambaan perlu dibendung dan diurus menuju ke depan memandangkan bayaran orang tengah telah menjadi satu kaedah untuk eksploitasi pekerja asing," demikian menurut kenyataan tersebut, pada Selasa.
Justeru, Gamuda katanya akan bekerjasama dengan rantaian bekalan lanjutan dan sub-kontraktor mereka dalam dua tahun akan datang untuk menyelaraskan pekerja asing mengikut keperluan Kumpulan.
Sementara itu, mengenai tawaran gaji di peringkat kemasukan pula, Gamuda telah membuat semakan untuk memastikan ia kompetitif dan berada di kedudukan teratas dalam industri.
Ia bagi membolehkan Kumpulan Gamuda terus menarik dan membangunkan bakat yang diperlukan untuk pertumbuhan perniagaan, ujar syarikat itu lagi.
Dalam masa yang sama, Gamuda menambah gaji minimum dan kenaikan gaji peringkat kemasukan graduan meningkatkan tahap gaji asas kumpulan dan seterusnya, tenaga kerja dalam kumpulan gaji di atas paras itu iaitu sehingga RM5,000.
"Pekerja juga akan menikmati kenaikan gaji secara bertingkat untuk disesuaikan dengan ekuiti dalaman," katanya lagi.
#Gamuda Bhd #gaji minimum #berita Malaysia #Gaji graduan naik