KUALA LUMPUR:
Kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026, VM2026) hanya akan dapat dicapai andai setiap individu yang terlibat dalam industri pelancongan negara serius dan komited memainkan peranan masing-masing.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kita perlu mengenal pasti kelemahan untuk diperbaiki juga kekuatan untuk diperkuatkan lagi untuk menggamit lebih ramai pelancong datang ke negara ini.

“Saya juga menggesa anda untuk memberi komen membina, pandangan dan cadangan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan serta bahagian yang perlu ditambah baik.

“Kita mesti mempertingkat usaha dan cara promosi ke peringkat yang lebih menyeluruh, tidak hanya mengetengahkan landskap indah dan kepelbagaian budaya yang ada di negara kita, tetapi juga pergi lebih mendalam dalam pengalaman, amalan pelancongan lestari dan memanfaatkan platform digital untuk mencapai audiens global," ujar beliau.

Tiong turut mencadangkan supaya untuk menarik pelancong dari serata pelosok dunia, Malaysia perlu mempelbagaikan tawaran, antaranya dengan memberi tumpuan kepada penganjuran festival, konsert dan acara antarabangsa.

Katanya, acara-acara demikian bertindak sebagai magnet yang berkuasa dan dengan strategi ini, kita dapat melonjakkan profil Malaysia di pentas dunia dan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk para pelancong.

“Kita juga perlu adakan lebih banyak libat urus bisnes kepada bisnes (B2B) dan kerajaan kepada bisnes (G2B)," tambah beliau.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan B2B dengan para pemegang taruh industri pelancongan untuk memantap dan memperkemas strategi menuju Tahun Melawat Malaysia (VM) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Jumaat.

Sesi tersebut dirangkumkan dengan seruan bertindak untuk semua pemegang taruh supaya bersatu berganding bahu dan bekerjasama dalam memperhebat serta memperkemas strategi pemasaran untuk pejabat-pejabat Tourism Malaysia di luar negara.

Lebih 80 wakil tempatan termasuk ejen pelancongan, pemilik produk pelancongan, pengusaha hotel, syarikat penerbangan hadir pada sesi tersebut untuk berhubung dengan 30 pejabat luar negara serta empat wakil pemasaran Tourism Malaysia di seluruh dunia.

VM 2026 menyasarkan kehadiran 35.6 juta pelancong serta janaan pendapatan sebanyak RM147.1 bilion.

Bagi Januari hingga April 2024, Malaysia mencatat influks ketara dengan kemasukan 7.56 juta pelancong, peningkatan 27.5 peratus berbanding 5.9 juta yang dicatat dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Lima pasaran utama penjanaan pelancong ketika ini adalah Singapura (2,599,076), Indonesia (1,150,939), China (955,696), Thailand (543,768) dan Brunei (390,481).