Gangguan air: Kerja penyelenggaraan lancar, dijangka siap malam ini - MB Selangor

Astro Awani
Oktober 13, 2021 09:13 MYT
Amirudin berkata, Air Selangor memaklumkan setakat 3 petang tadi, kerja-kerja tersebut mencapai tahap 76.4 peratus, iaitu lebih awal daripada jadual asal iaitu 65 peratus. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) berjalan lancar dan lebih awal daripada jadual asal.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan setakat 3 petang tadi, kerja-kerja tersebut mencapai tahap 76.4 peratus, iaitu lebih awal daripada jadual asal iaitu 65 peratus.
“Kerja pembaikan dan penyelenggaraan dijangka siap pada malam ini.
“Insya-Allah, dan bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat selepas itu mengikut jadual,” katanya dalam entri di laman Facebook sebentar tadi.
Tiada Bekalan Air | Tinjauan kesukaran penduduk Lembah Klang1927953
BACA: Dah tadah air ke? Mulai esok, 998 kawasan sekitar Lembah Klang akan alami gangguan bekalan air
Sebanyak 998 kawasan di Lembah Klang khasnya di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 9 pagi Rabu hingga 16 Oktober ini.
Gangguan itu ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang menyebabkan henti tugas LRA SSP1.
#gangguan air #Selangor #Kuala Lumpur #Menteri Besar