Gangguan air Lembah Klang: LUAS kesan pencemaran seakan diesel

Astro Awani
Mei 3, 2022 16:45 MYT
Air Selangor berkata, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air bermula jam 3 petang Selasa. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan bau seakan diesel di Sungai Beranang menujukkan bacaan pencemaran 2 ton, yang menjadi punca Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti operasi sekali gus menjejaskan bekalan air di 427 kawasan di Lembah Klang pada Selasa.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, berkata pasukan LUAS yang membuat rondaan mengesan kejadian itu pada jam 2.30 pagi Selasa.
"Siasatan lanjut mendapati paras sungai yang tinggi serta aliran yang deras daripada hujan yang lebat telah menyebabkan pembendungan pencemaran sebelum ini di Sungai Kabul memasuki sungai.
"LUAS, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meningkatkan langkah-langkah mitigasi pencemaran.
"Pemantauan dan pensampelan statik LUAS juga dipertingkatkan kepada dua lokasi iaitu di Sungai Beranang termasuk Sungai Kabul dan Sungai Semenyih selepas pertemuan Sungai Beranang.
"LUAS telah meletakkan tiga oil boom, 20 oil pad dan lima beg AC di Sungai Kabul untuk meningkatkan pencegahan kepada pencemaran," katanya dalam satu kenyataan Selasa malam.
Gangguan Air | Raya tiada air, bukan cerita lawak
BACA: Gangguan air: Bekalan pulih sepenuhnya 9 pagi esok - Air Selangor
Terdahulu, Air Selangor berkata, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air bermula jam 3 petang Selasa.
Gangguan bekalan air itu susulan insiden pencemaran yang dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir sehingga menyebabkan henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih.
Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, LUAS telah mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan apa-apa bahan pencemar yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang.
"Pihak premis sedang melakukan pembersihan sump pit sepertimana prosedur yang ditetapkan dan pihak JAS juga telah mengeluarkan notis penahanan operasi kepada premis berkuatkuasa daripada 1 Mei 2022," katanya.
Beliau berkata, bermula pada jam 2.30 petang Selasa, air sungai kembali normal apabila ujian bau mula merekodkan bacaan 0 ton di LRA dengan konsisten tiga kali bacaan sama sehingga jam 3.30 petang.
#gangguan bekalan air #Lembah Klang #pencemaran diesel #LUAS