SEREMBAN: Sebahagian kawasan di beberapa daerah di Negeri Sembilan mengalami gangguan bekalan air susulan hujan lebat dan banjir sejak semalam.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Norzita Ismail dalam kenyataan berkata ia berikutan penutupan dan penurunan pengeluaran bekalan air di beberapa loji rawatan air SAINS kerana muka sauk ditenggelami banjir selain sumber air mentah kekeruhan yang tinggi.

Menurutnya, Loji Rawatan Air (LRA) yang ditutup atau perlu mengurangkan pengeluaran bekalan air buat masa ini adalah LRA Pantai di Seremban melibatkan 13,336 akaun termasuk membabitkan seluruh kawasan Pantai dari Batu 6 hingga Batu 10 serta Kuarters Sungai Terip dan Pejabat Veterinar.

"LRA Linggi pula mengakibatkan gangguan kepada 47,931 akaun melibatkan beberapa kawasan di Seremban, Rembau dan Port Dickson.

"Di Jelebu, LRA Klawang juga mengalami gangguan operasi disebabkan masalah yang berlaku di loji tidak dapat dibaiki dan kerja pembaikan hanya akan dapat dimulakan sekiranya banjir mula surut dan hujan kembali reda. Akaun terlibat dianggarkan 7,239," katanya.

Norzita berkata, LRA Titi juga dihentikan operasinya pada masa ini disebabkan bekalan elektrik terputus dan akaun yang terlibat sebanyak 5,297 manakala LRA Lakai termasuk melibatkan Simpang Durian, Pekan Simpang Durian.

Di Tampin, LRA Pasir Besar terpaksa mengurangkan pengeluarannya disebabkan kekeruhan air mentah masih lagi tinggi manakala di Kuala Pilah melibatkan Seluruh Ulu Bendul, Terachi dan Tanjung Ipoh, katanya.

Beliau berkata Pusat Tindakan Kecemasan Ibu Pejabat dan Daerah serta Pelan Tindakan Kontigensi (PTK) SAINS diaktifkan hari ini bagi membantu kerja penyelarasan tugas kecemasan di daerah yang terlibat dalam menangani gangguan bekalan air.

Jelas Norzita SAINS juga bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam membantu membekalkan bekalan air di beberapa kawasan penempatan banjir yang memerlukan melalui penempatan tangki statik SAINS terutama di Port Dickson.

"Sebarang bentuk aduan gangguan atau permohonan bekalan air oleh pelanggan SAINS boleh disalurkan pada talian 1-800-88-6982 atau e-melkan ke [email protected] untuk ditangani dengan segera," katanya.

-- BERNAMA