Gangguan bekalan air di Besut dijangka selesai esok

Bernama
Januari 18, 2024 05:03 MYT
Ribuan penduduk di 11 kampung sekitar Kuala Besut mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual yang dijangka berlarutan selama 21 hari, bermula 1 Jan lalu. - Gambar fail/BERNAMA
JERTIH: Masalah gangguan bekalan air membabitkan 11 kampung di sekitar mukim Bukit Keluang, di sini sejak 1 Jan lepas dijangka berakhir esok.
Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja pembaikan dan pemasangan paip berhampiran jambatan Kampung Lampu itu kini siap 83 peratus.
"Kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada 19 Jan (Jumaat) iaitu lebih awal daripada tarikh sebenar yang dijangka sebelum ini iaitu pada 21 Jan (Ahad).
"SATU akan sentiasa memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa melalui saluran media rasmi," menurut kenyataan itu.
Pada awal bulan ini, SATU memaklumkan gangguan bekalan air itu berlaku akibat kebocoran paip bersaiz 600 millimeter di dasar Sungai Besut yang menjejaskan 2,670 akaun pengguna air dalam kawasan mukim Keluang di daerah Besut.
-- BERNAMA
#bekalan air #gangguan bekalan air #terengganu #kerja pembaikan paip