Gangguan bekalan air di Terengganu pulih

Bernama
Julai 13, 2016 05:42 MYT
Permasalahan yang berlaku sejak Sabtu lepas berjaya diatasi, namun masih terdapat beberapa kawasan yang mengalami tekanan air yang rendah. -Gambar fail
Masalah gangguan bekalan air yang melanda daerah Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus telah pulih secara berperingkat sejak Isnin lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ir Atemin Sulong berkata pihaknya telah berjaya mengatasi permasalahan yang berlaku sejak Sabtu lepas, bagaimanapun masih terdapat beberapa kawasan yang mengalami tekanan air yang rendah.
"Semua kawasan telah pulih dan kita jangka tiada lagi kawasan yang mengalami masalah gangguan selepas kerja-kerja pembaikan selesai dilaksanakan," katanya kepada Bernama.
Sabtu lepas, lebih 500,000 pengguna di negeri ini mengalami gangguan bekalan air apabila suis utama loji Air Kepong meletup dan terbakar akibat dipanah petir pada petang Jumaat.
#gangguan bekalan air #Kuala Nerus #Kuala Terengganu #Marang #SATU #Syarikat Air Terengganu