Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar diskaun bayaran bil air diberikan kepada 1.2 juta akaun pengguna yang terjejas berikutan gangguan bekalan asas itu di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang sejak Khamis lepas.

Diskaun itu adalah sebagai ganti rugi kepada kesusahan yang dialami oleh pengguna di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak serta Kuala Langat yang terjejas berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas kerana berlaku pencemaran air mentah di kawasan Sungai Gong.

Setiausaha Agung MTUC J. Solomon berkata rakyat tidak boleh lagi bertolak ansur kerana Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor sering mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak 2014 hingga 2018.

Menurut Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Selangor mencatatkan kes gangguan bekalan air tertinggi iaitu separuh daripada keseluruhan kes di seluruh negara setiap tahun.

"Paling mengecewakan, penyebab kepada pencemaran sehingga bekalan air terputus adalah pesalah sama yang pernah dikenakan hukuman denda RM60,000 beberapa tahun lepas.

"Bagaimana pihak berkuasa bahagian perlesenan dan penguatkuasaan membenarkan kilang berkenaan terus membuang sisa ke dalam sumber air mentah yang digunakan oleh rakyat? Mereka gagal memantau kilang berkenaan dan semua yang terletak berhampiran sungai secara diam-diam membuang sisa ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Solomon turut mempersoalkan pasukan penguatkuasaan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sama ada mereka melakukan pemeriksaan berkala ke atas mesin dan peralatan yang sering menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual sebelum ini.

Beliau menggesa agar pemimpin negara dan negeri melakukan perubahan terhadap agensi berkaitan kerana keadaan sukar yang dialami ketika gangguan bekalan air adalah bertentangan dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membabitkan akses kepada air bersih dan sanitasi rakyat.

Sementara itu, pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor dan agensi berkaitan perlu lebih proaktif dan segera bertindak sebelum kejadian sama berulang.

"Mereka perlu menyelesaikan masalah ini. Mereka perlu berhenti memberi alasan atau penjelasan standard bahawa mereka sedang menyiasat selepas kejadian itu berlaku. Apa terjadi dengan kes-kes sebelumnya? Mengapa laporan akhir tidak didedahkan kepada awam? Apakah langkah-langkah yang dilakukan untuk meyakinkan rakyat bahawa perkara itu tidak berlaku lagi?," soalnya.

Lee berkata pesalah pencemaran air layak menerima hukuman lebih berat kerana mereka bertanggungjawab menyebabkan keadaan tidak selesa dan menimbulkan kesulitan kepada orang ramai dan mengancam keselamatan serta kehidupan mereka.

"Hukuman denda sahaja tidak mencukupi, jika perlu, maka harus ada hukuman penjara," katanya.

-- BERNAMA