[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Gangguan bekalan elektrik di Bali selesai, bukan serangan siber - PLN Indonesia

Bernama 03/05/2025 | 05:07 MYT
Gangguan berlaku disebabkan kerosakan kabel bawah laut, yang menghubungkan grid elektrik Jawa dan Bali. - Gambar hiasan/AP
JAKARTA: Syarikat elektrik Indonesia PT PLN (Persero) mengesahkan gangguan bekalan elektrik di pulau percutian popular Bali baru-baru ini berpunca daripada masalah teknikal dan bukannya serangan siber.

Ringkasan AI
  • Gangguan bekalan elektrik di Bali baru-baru ini berpunca daripada masalah teknikal, bukan serangan siber, seperti yang disahkan oleh syarikat elektrik Indonesia PT PLN (Persero).
  • Gangguan berlaku disebabkan kerosakan kabel bawah laut, yang menghubungkan grid elektrik Jawa dan Bali, menyebabkan beberapa kawasan dan kemudahan penting seperti hospital dan lapangan terbang terjejas.
  • Pihak berkuasa bertindak pantas untuk memulihkan bekalan, dengan ratusan pekerja dikerahkan dan bekalan kembali pulih sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 12 jam selepas gangguan berlaku.

"Gangguan itu telah dikenal pasti sebagai isu teknikal dalam sistem penghantaran atau pengagihan PLN dan bukan akibat serangan siber," kata Pengarah Pengagihannya, Adi Priyanto dalam kenyataan video.
PLN bertindak pantas menangani gangguan yang berlaku pada 4 petang waktu tempatan Jumaat dengan menghantar ratusan pekerja dan memulakan kerja pemulihan dalam masa 45 minit. Bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada 3.56 pagi Sabtu.
"Secara teknikal, terdapat petunjuk gangguan pada sistem penghantaran kabel bawah laut, tetapi punca sebenar masih dalam siasatan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Darmawan Prasodjo.
Kementerian Sekretariat Negara menjelaskan gangguan itu berpunca daripada kerosakan kabel bawah laut yang menghubungkan grid elektrik Jawa dan Bali, menyebabkan semua stesen janakuasa di Bali terpaksa ditutup sementara.
Menteri Prasetyo Hadi, yang juga jurucakap Presiden Prabowo Subianto, berkata kerajaan memantau rapat situasi itu dan berusaha memulihkan perkhidmatan awam secepat mungkin.
Gangguan elektrik itu menjejaskan bekalan di beberapa kawasan, termasuk Denpasar, Badung, Gianyar dan Tabanan serta menjejaskan kemudahan penting seperti hospital, lapangan terbang dan pelabuhan.
-- BERNAMA
#gangguan bekalan elektrik #Bali #Syarikat elektrik Indonesia #serangan siber