MALAYSIA

Gangguan elektrik 20 minit di KLIA2 tidak boleh diterima - Loke

Bernama 28/08/2025 | 10:03 MYT
Menurut Loke, dalam sektor pengangkutan awam, sebarang gangguan teknikal melebihi 15 minit dikategorikan sebagai gangguan besar. - Gambar fail/Bernama
SEPANG: Insiden gangguan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 disifatkan tidak boleh diterima sama sekali kerana menjejaskan imej negara, tegas Menteri Pengangkutan Anthony Loke.


Ringkasan AI
  • Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyifatkan insiden gangguan elektrik selama hampir 20 minit di KLIA Terminal 2 sebagai tidak boleh diterima dan menjejaskan imej negara.
  • Gangguan tersebut menyebabkan sistem terminal gelap, eskalator terhenti dan urusan perniagaan terganggu. Loke mengarahkan MAHB dan gateway@klia2 menyediakan laporan penuh dalam tempoh 24 jam.
  • Beliau menegaskan sistem sokongan sepatutnya berfungsi dan mahukan jaminan insiden seperti ini tidak berulang.


Kejadian itu berlaku ketika beliau menghadiri majlis pelancaran "Tap, Travel and Discover" anjuran gateway@klia2 di terminal berkenaan.

Menurut Loke, dalam sektor pengangkutan awam, sebarang gangguan teknikal melebihi 15 minit dikategorikan sebagai gangguan besar, apatah lagi berlaku di pintu masuk utama negara.

"Seperti biasa, saya hadir (majlis) 15 minit lebih awal. Saya tiba di KLIA2 pukul 2.10 petang, program sepatutnya bermula tetapi tertangguh sehingga 2.35 petang. Saya dapati berlaku gangguan elektrik hampir 20 minit.

"Apa yang berlaku ini tidak boleh diterima sama sekali," katanya.

Loke berkata gangguan itu menyebabkan banyak sistem tidak berfungsi, termasuk terminal gelap dan eskalator terhenti, walaupun papan maklumat masih beroperasi.

"Perkara seperti ini memberi imej sangat buruk kepada negara. Sepatutnya sistem sokongan berfungsi, tetapi mengapa ia tidak aktif? Ini mesti dijawab," katanya.

Sehubungan itu, Loke mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan gateway@klia2 menyediakan laporan penuh dalam tempoh 24 jam mengenai punca insiden berkenaan.

"Saya tidak mahu mendengar alasan atau tuding-menuding. Saya mahu penyelesaian segera dan jaminan perkara ini tidak berulang," tegasnya.

Terdahulu, gangguan elektrik itu turut menyebabkan kesesakan di kawasan eskalator selain menjejaskan urusan jual beli di premis perniagaan.

-- BERNAMA



#Gangguan elektrik #KLIA2 #Anthony Loke #MAHB