GADGETS

Gangguan internet jejas NatWest, BT dan Minecraft susulan masalah Microsoft

Bernama 30/10/2025 | 02:20 MYT
Dalam kenyataan pada 7.22 malam Rabu, Microsoft berkata, "Kami telah melaksanakan semula konfigurasi terakhir yang diketahui stabil, dan proses ini telah berjaya diselesaikan."
LONDON: Gangguan yang menjejaskan Microsoft menyebabkan peningkatan mendadak laporan gangguan perkhidmatan internet melibatkan pelbagai platform termasuk NatWest, Minecraft dan BT, lapor PA Media/dpa.

Laman sesawang Downdetector yang menjejak aduan perkhidmatan dalam talian merekodkan lonjakan laporan pada petang Rabu, dengan lebih 2,000 laporan berkaitan Xbox dan sekurang-kurangnya 500 laporan melibatkan Microsoft Outlook menjelang 6 petang (1800 GMT).

Lapangan Terbang Heathrow turut dilaporkan terjejas.

Microsoft Azure, platform awan milik gergasi teknologi itu, memaklumkan pihaknya mengenal pasti punca masalah yang menjejaskan sebahagian perkhidmatan dan sedang memulihkan operasi.

Microsoft menjelaskan pengguna mungkin tidak dapat mengakses pusat pentadbiran (admin centre) serta mengalami kelewatan ketika menggunakan perkhidmatan 365 lain, namun menjangkakan semua perkhidmatan pulih sepenuhnya menjelang 11.20 malam.

Dalam kenyataan pada 7.22 malam, syarikat itu berkata, "Kami telah melaksanakan semula konfigurasi terakhir yang diketahui stabil, dan proses ini telah berjaya diselesaikan.

Susulan gangguan itu, proses pengundian di Parlimen Scotland turut digantung apabila ahli parlimen tidak dapat mengundi akibat masalah teknikal.

Insiden ini berlaku hanya sembilan hari selepas masalah serupa di Amazon Web Services (AWS) menjejaskan laman sesawang Jabatan Hasil dan Kastam (HMRC) serta bank-bank di United Kingdom termasuk Lloyds dan Halifax.

-- BERNAMA


#Microsoft #Gangguan internet #pengundian di Parlimen Scotland #Lapangan Terbang Heathrow