KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) mendapat sokongan dan kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melancarkan perjalanan bas perantara yang menyokong perkhidmatan alternatif LRT laluan Ampang.

Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan sokongan yang diaktifkan bermula waktu puncak petang ini, adalah hasil perbincangan dalam usaha membantu melancarkan perjalanan bas perantara laluan berkenaan terutamanya di antara stesen LRT Hang Tuah dan stesen LRT Bandaraya.

"Sokongan diberikan adalah laluan bas khusus di waktu puncak. Pihak DBKL bersetuju untuk meletakkan kon di laluan lorong paling kiri di Jalan Raja Laut untuk kegunaan bas perantara LRT," menurut kenyataan itu.

LRT | Laluan LRT Masjid Jamek, Bandaraya ditutup dua minggu

Kenyataan itu memaklumkan sokongan lain ialah kebenaran untuk melalui jalan yang ditutup semasa waktu puncak, dengan DBKL bersetuju untuk hanya membenarkan bas kendalian Rapid KL melalui Jalan Tun Perak sekiranya jalan tersebut ditutup kepada lalu lintas ketika waktu puncak.

Menurut kenyataan itu lagi DBKL juga bersetuju menempatkan penguat kuasa di lampu isyarat Jalan Tun Perak dan Bulatan Dato' Onn dengan sokongan anggota Polis Bantuan Prasarana di lokasi tersebut.

Selain itu, DBKL turut membenarkan pemasangan khemah di stesen LRT yang terjejas bagi kemudahan dan keselesaan pengguna.

"Rapid Bus ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tambahan yang diberikan pihak DBKL bagi kemudahan dan keselesaan pengguna yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA