NATIONAL
Gangguan seksual meningkat, takutkan polis antara punca mangsa tak lapor - Shuhaily

Mohd Shuhaily berkata PDRM komited memperbaiki pendekatan siasatan dan membina semula keyakinan mangsa terhadap sistem keadilan serta perlindungan yang sedia ada. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketakutan terhadap pihak polis adalah antara faktor utama yang menghalang mangsa gangguan seksual daripada tampil membuat laporan.
Ringkasan AI
- Ketakutan mangsa terhadap pihak polis: Salah satu faktor utama yang menghalang mangsa gangguan seksual daripada membuat laporan adalah ketakutan terhadap autoriti polis. Untuk mengatasi hal ini, unit khas D11 diwujudkan bagi pendekatan lebih berperikemanusiaan, termasuk penggunaan pakaian biasa dalam kes membabitkan mangsa bawah umur.
- Peningkatan kes gangguan seksual: Statistik menunjukkan peningkatan ketara dalam kes gangguan seksual di Malaysia, dengan 1,752 kes direkodkan pada 2023 dan meningkat kepada 2,235 kes pada 2024. Walaupun begitu, jumlah laporan yang diterima masih rendah berbanding skala sebenar yang berlaku.
- Usaha PDRM untuk membina kepercayaan mangsa: Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited untuk memperbaiki pendekatan siasatan dan membina semula kepercayaan mangsa terhadap sistem keadilan, termasuk menyediakan bilik temu bual khas bagi menangani kes sensitif serta meningkatkan kesedaran mengenai unit D11.
“Uniform ini sendiri melambangkan autoriti. Bila ada autoriti, secara semula jadi ia boleh menakutkan sesetengah orang – terutamanya mangsa (gangguan seksual).
“Sebab itu kita tak boleh terus duduk dalam kepompong lama. Justeru, unit khas D11 diwujudkan untuk pendekatan yang lebih sesuai dan berperikemanusiaan.
“Contohnya, dalam kes membabitkan mangsa bawah umur, pegawai tidak akan turun dengan pakaian seragam. Mereka akan berpakaian biasa supaya lebih mudah mendekati mangsa secara profesional,” katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI di ibu negara, hari ini.
PDRM juga katanya ada menyediakan bilik khas temu bual (triage room) bagi memastikan soal siasat kes sensitif tidak dijalankan secara terbuka yang boleh menambah tekanan kepada mangsa.
Jelas beliau lagi, persepsi negatif terhadap polis kekal menjadi cabaran utama kepada pihak berkuasa dalam usaha membina semula keyakinan mangsa.
"Pendekatan itu sebenarnya sudah lama ada. Tapi bagi mangsa, ini mungkin pengalaman pertama mereka. Mereka menilai polis secara umum dan tak tahu pun wujudnya unit khusus seperti D11," ujarnya lagi.
Kes gangguan seksual melonjak
Mohd Shuhaily turut mendedahkan jenayah gangguan seksual mencatatkan peningkatan ketara di seluruh negara, dengan 1,752 kes direkodkan pada 2023, dan melonjak kepada 2,235 kes pada 2024.
Setakat tahun ini sahaja, sebanyak 325 laporan gangguan seksual telah diterima polis, namun angka itu dipercayai hanyalah sebahagian kecil daripada skala sebenar yang berlaku – khususnya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Dalam konteks IPTA, jumlah yang dilapor sangat kecil. Berdasarkan data kami, hanya sekitar 10 peratus sahaja daripada kes sebenar yang benar-benar sampai kepada pihak polis,” jelas beliau.
Justeru, beliau menegaskan bahawa PDRM kekal komited untuk terus memperbaiki pendekatan siasatan dan membina semula keyakinan mangsa terhadap sistem keadilan serta perlindungan yang sedia ada.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami