Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian yang menyebabkan masalah sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) minggu lalu berpunca daripada tindakan berniat jahat.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata pihaknya sentiasa komited untuk memberikan kualiti perkhidmatan terbaik dan akan sentiasa memantau situasi bagi memastikan operasi sentiasa lancar.

Selain itu, Raja Azmi turut memaklumkan sistem rangkaian di KLIA sudah semakin stabil.

"Walau bagaimanapun, kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan penyiasatan penuh berhubung perkara itu," katanya.

Terdahulu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada Sabtu memaklumkan pihaknya tidak mengesan sebarang insiden serangan siber dalam gangguan sistem rangkaian KLIA dan KLIA2 sejak gangguan itu mula dikesan pada 21 Ogos.

BACA: Operasi di KLIA pulih selepas 4 hari alami gangguan teknikal

BACA: Walau sistem KLIA terjejas, keselesaan penumpang tetap keutamaan MAB

Gangguan rangkaian di KLIA bermula Khamis lalu dan berlarutan selama empat hari.

Masalah itu turut menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).