MALAYSIA

Gangguan telekomunikasi di Kuala Kangsar akibat kebakaran menara

Shafiqa Azami 28/12/2025 | 12:30 MYT
MCMC memaklumkan, menara tersebut menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis. - Gambar media sosial
KUALA LUMPUR: Gangguan liputan telekomunikasi berlaku di beberapa kawasan sekitar Kuala Kangsar, Perak berikutan kebakaran sebuah menara komunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor pada Sabtu, sekitar jam 6.50 petang.


Ringkasan AI
  • Gangguan liputan telekomunikasi berlaku di beberapa kawasan sekitar Kuala Kangsar, Perak berikutan kebakaran menara komunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor.
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan gangguan menyebabkan kesan kepada pengguna CelcomDigi, Maxis, dan Unifi Mobile di pelbagai kawasan termasuk Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan.
  • MCMC memerintahkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk mengambil tindakan pembetulan serta aktifkan WiFi satelit Starlink sebagai langkah sementara, sementara siasatan berterusan dijalankan untuk menentukan punca kebakaran.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, menara tersebut menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis.

"Kejadian itu telah menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi khususnya bagi pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile, termasuk di Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas, Kampung Lempor dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) berhampiran lokasi kejadian.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan akses ke lokasi ditutup bagi membolehkan pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan siasatan lanjut," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, MCMC memaklumkan, pihaknya telah mengarahkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk melaksanakan tindakan pembetulan segera, termasuk penyediaan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan.

"Sebagai langkah sementara, kemudahan WiFi satelit Starlink diaktifkan di R&R Sungai Perak (arah utara) bagi memastikan pengguna lebuh raya masih dapat berkomunikasi," jelas kenyataan itu.

MCMC turut menegaskan, pemilik menara dan penyedia perkhidmatan dikehendaki memperketatkan penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal dan pemantauan berterusan di semua menara bagi memastikan kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna.





#MCMC #PLUS #Starlink #JBPM