KUALA LUMPUR: Peruntukan besar perlu diagihkan bagi melaksana perancangan menyeluruh dalam Pembangunan Bahasa Melayu pada Belanjawan 2024, yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat ini.

Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Datuk Zainal Abidin Borhan berkata peruntukan tersebut, akan melibatkan kementerian-kementerian yang memiliki fungsi berkaitan pembangunan bahasa Melayu, terutamanya Kementerian Luar bagi mengantarabangsakan bahasa itu.

"Oleh itu, di setiap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Kedutaan Malaysia di luar negara, Atase Pendidikan perlu proaktif mengembangkan bahasa Melayu dalam kalangan penutur asing," katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, beliau turut mencadangkan untuk mewujudkan kerusi Bahasa Melayu di universiti-universiti di negara-negara terpilih, bagi pembangunan bahasa Melayu di pentas antarabangsa.

Beliau menjelaskan perjuangan bahasa Melayu menghadapi cabaran sejak Peristiwa Keranda-152 pada 1967 hingga penentangan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Program Dwibahasa (DLP) serta Unified Examination Certificate (UEC).

"Cabaran ini memperlahankan segala usaha pembangunan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152," katanya.

Zainal Abidin berkata bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, merupakan isu kenegaraan dan pembinaan negara bangsa yang selaras dengan hasrat untuk membina masyarakat Malaysia Madani.

-- BERNAMA