SUBANG: Beberapa garis panduan berkaitan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) dijangka diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam tempoh terdekat, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata kerajaan kini di peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan dasar berkenaan yang melibatkan sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Advertisement
“Antara telah dibincangkan ialah pelaksanaannya dibuat secara berfasa. Buat masa ini, mungkin pelaksanaan awal melibatkan kawasan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Kuching,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Program Bicara dan Perkongsian, Menelusuri 1 Mei 2026: Pekerja KESUMA Bangsa’, di sini hari ini.
Ramanan berkata bagi syarikat multinasional, syarikat besar serta institusi perbankan, kebanyakan organisasi berkenaan telah melaksanakan modul BDR dalam operasi masing-masing.
Beliau berkata pelaksanaan BDR juga dijangka tidak menjejaskan produktiviti pekerja kerana tugasan yang boleh dilaksanakan melalui komputer boleh dilakukan sama ada di pejabat mahupun rumah.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan GLC bermula 15 April, sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global, selain mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.
Mengenai ‘Program Bicara dan Perkongsian, Menelusuri 1 Mei 2026: Pekerja KESUMA Bangsa’, Ramanan berkata ia merupakan platform strategik kerajaan untuk memperkukuh hubungan tripartit antara kerajaan, majikan dan pekerja, selain menyemarakkan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei ini.
“Program ini juga menjadi ruang perbincangan bagi memahami keperluan sebenar pekerja dan memastikan suara mereka diambil kira dalam pembentukan dasar kerajaan,” katanya.
Beliau berkata program itu juga akan dilaksanakan secara jelajah di beberapa zon utama bermula di Sungai Buloh, Selangor, Ipoh, Perak, Batu Pahat, Johor, Kuala Terengganu, Terengganu, Kota Samarahan, Sarawak dan Sandakan, Sabah.
Menurutnya, pelbagai program telah dirangka bagi menyemarakkan sambutan Hari Pekerja tahun ini antaranya Mega Karnival Kerjaya dan Kemahiran serta Reruai Perkhidmatan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada 1 hingga 3 Mei ini di Parkir B, TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Sayembara Mencipta Pantun Hari Pekerja 2026 bermula 30 Mac hingga 13 April, Forum Hal Ehwal Islam pada 7 Mei di Sabah serta Run and Ride Hari Pekerja pada 17 Mei di Dataran Wawasan, Putrajaya,” katanya.
-- BERNAMA