Garis panduan kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan sedang dirangka - Dr Zaliha

Dr Zaliha Mustafa berkata kajian itu turut merangkumi penilaian model perkuburan di Singapura, Kedah dan Pulau Pinang. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Garis panduan pelaksanaan kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan sedang dirangka berasaskan kajian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai usaha mencari alternatif baharu bagi mengatasi kekangan tanah perkuburan sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kajian itu turut merangkumi penilaian model perkuburan di Singapura, Kedah dan Pulau Pinang.
"Kita juga tidak mahu tergesa-gesa dalam pelaksanaannya, perlu mengambil kira beberapa perkara seperti adat, sensitiviti dan amalan masyarakat setempat.
"Hasil kajian ini, insya-Allah akan digunakan dalam merangka garis panduan kubur bertingkat. Ini perkara baharu. Pengurusan kubur bertingkat ini contohnya di Masjid Al-Jamiul Badawi, Pulau Pinang boleh dijadikan sebagai rujukan, tetapi di Wilayah Persekutuan mungkin pendekatannya berbeza," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk membuka tapak perkuburan baharu yang lebih dekat atau di dalam kawasan Kuala Lumpur berikutan jarak tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih, Selangor melebihi 40 kilometer dari Wangsa Maju.
Dr Zaliha berkata keputusan berhubung perkara itu hanya akan dimuktamadkan selepas proses libat urus bersama-sama menteri agama, Mufti Wilayah Persekutuan dan penduduk.
Bagi usaha jangka pendek, beliau menghargai usaha JAWI mengoptimumkan tanah perkuburan sedia ada melalui kerja-kerja peluasan dan pengaturan semula lot kubur melibatkan 11 tapak yang semakin penuh seperti disenaraikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Kapasiti untuk tapak-tapak perkuburan di Kuala Lumpur ini semakin kurang. Kini, pencapaian telah pun 70 peratus dan dijangka hanya mampu bertahan hingga 2029, iaitu lebih kurang lima tahun sahaja lagi," katanya.
Selain itu, beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) juga sedang berusaha untuk mempercepat pembukaan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih yang dijangka pada 2028, bagi menampung keperluan pengebumian umat Islam di Kuala Lumpur bagi tempoh 28 tahun.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata kerajaan sedang merangka dasar khusus termasuk mengkaji mekanisme Pindah Hak Pembangunan (TDR) bagi memelihara Perkampungan Tradisi I (TV I) dan Perkampungan Tradisi II (TV II) di Kuala Lumpur daripada tekanan pembangunan, selaras dengan tindakan sokongan dan dasar yang digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).
Beliau berkata langkah yang dicadangkan meliputi kawalan perancangan terperinci, kemudahan masyarakat, pengangkutan awam dan penjanaan semula tanpa menjejaskan nilai budaya, selain kajian TDR untuk mengekalkan karakter kampung dalam jangka panjang.
Dr Zaliha turut menegaskan dasar berkenaan memerlukan peruntukan mencukupi dan memaklumkan bahawa kerajaan sedang menyusun semula peruntukan khidmat masyarakat bagi mewujudkan dana khusus untuk tujuan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) tentang usaha kerajaan mewujudkan dasar dan peruntukan khusus untuk memelihara kampung tradisi TV I dan TV II daripada tekanan pembangunan.
Menjawab soalan asal Dr Zulkafperi berhubung cabaran kampung tradisi di Kuala Lumpur di bawah PSKL2040, Dr Zaliha berkata kerajaan sedang merangka pelan penyelesaian menyeluruh bagi menangani isu pemilikan tanah, kemudahan asas dan tekanan pembangunan, khususnya di kawasan Rizab Melayu Gombak.
Beliau berkata tindakan itu diambil bagi menangani legasi masalah lama seperti penyelenggaraan terhad, laluan sempit, utiliti tidak teratur dan pelanggaran syarat tanah, sekali gus mendorong JWP merangka pelan penyelesaian bersepadu termasuk mengaktifkan KL Strikeforce bagi mengekang kacau ganggu warga asing di kawasan rizab Melayu.
Menurutnya, zon TV I dan TV II di bawah PSKL2040 ditetapkan bagi mengekalkan karakter kampung tradisi melalui kawalan reka bentuk, had ketinggian dan zon penampan pembangunan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


