MALAYSIA

Garis panduan pengambilan air liur persampelan bakal dimuktamadkan - Dr Noor Hisham

Sinar Harian 13/07/2021 | 23:06 MYT
KKM akan memuktamadkan garis panduan penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan COVID-19. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memuktamadkan garis panduan penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia akan dibuat dalam mesyuarat pada Rabu.

Menurutnya, kaedah penggunaan RTK-Antigen menggunakan air liur boleh dilaksanakan pesakit itu sendiri.

"Langkah itu dapat meningkatkan saringan di lapangan sekali gus kemungkinan kes positif COVID-19 dapat dikesan dengan lebih baik.

"Tujuh hospital KKM sudah dikenal pasti untuk melaksanakan penilaian lapangan penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan COVID-19," katanya.

Institut Kajian Perubatan (IMR) sebelum ini dilapor telah selesai menjalankan kajian mengenai penggunaan dua kit ujian air liur untuk saringan kendiri COVID-19.

Kedua-dua kaedah tersebut didapati mempunyai sensitiviti melebihi 90 peratus.

Artikel asal di Sinar Harian: Garis panduan pengambilan air liur persampelan bakal dimuktamadkan



#Noor Hisham Abdullah #sampel air liur #garis panduan #KKM #Kementerian Kesihatan #COVID-19 #kes positif #ujian saringan