MALAYSIA

Gas asli disalur ke Sarawak menerusi GSA, terma dan syarat komersil - Azalina

Bernama 10/11/2025 | 22:15 MYT
Azalina berkata permintaan gas asli domestik di Sarawak bagi pasaran bukan gas asli cecair (LNG) dijangka meningkat kepada 500 juta kaki padu sehari (mmscfd) menjelang akhir tahun ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) tidak menjual gas asli secara langsung kepada Sarawak, sebaliknya ia disalurkan kepada industri hiliran negeri itu menerusi Perjanjian Jualan Gas (GSA) dengan Petronas berdasarkan terma dan syarat komersil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.


Ringkasan AI
  • PETRONAS tidak menjual gas asli secara langsung kepada Sarawak; disalurkan menerusi Perjanjian Jualan Gas (GSA) berdasarkan terma komersil - Menteri Azalina.
  • Permintaan gas asli domestik di Sarawak dijangka meningkat kepada 500 juta kaki padu sehari menjelang akhir 2025; Petronas komited untuk memenuhi keperluan pasaran domestik menjelang 2030.
  • Petronas berunding dengan Petros bagi memperincikan Deklarasi Bersama yang ditandatangani pada 21 Mei, 2025; proses perundingan mengambil kira prinsip komersial dan kelestarian industri.


Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang meminta kementerian berkenaan menyatakan jumlah gas asli yang telah dijual oleh Petronas kepada Sarawak bagi 2023, 2024 dan 2025.

Sementara itu, Azalina berkata permintaan gas asli domestik di Sarawak bagi pasaran bukan gas asli cecair (LNG) dijangka meningkat kepada 500 juta kaki padu sehari (mmscfd) menjelang akhir tahun ini.

"Purata permintaan gas asli di Sarawak bagi pasaran bukan LNG adalah sekitar 400 juta kaki padu sehari (mmscfd) bagi tempoh 2023 hingga 2024," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, pada Isnin.

Beliau berkata Petronas kekal komited untuk memastikan sebanyak 1.2 bilion kaki padu standard sehari (bscfd) diperuntukkan bagi memenuhi keperluan pasaran domestik di Sarawak menjelang 2030.

Menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai status terkini rundingan hak minyak dan gas antara Petronas dan Sarawak, Azalina berkata Petronas kini sedang berunding dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bagi memperincikan Deklarasi Bersama yang ditandatangani pada 21 Mei, 2025.

"Proses perundingan ini memakan masa kerana ia perlu mengambil kira prinsip komersial, kepentingan bersama dan kelestarian industri, serta bertujuan mewujudkan kerangka kerjasama yang lebih strategik, inklusif dan saksama untuk jangka masa Panjang," katanya.

Beliau berkata Petronas perlu diberi ruang untuk terus melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya seperti diperuntukkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144), meliputi aktiviti huluan hingga penjualan LNG ke pasaran antarabangsa.

"Bagi Petros, syarikat itu dilantik sebagai aggregator gas bagi pasaran domestik Sarawak berkuat kuasa 1 Mac 2025, dan pelantikan ini akan dihormati serta disokong oleh semua pemain industri yang terlibat dalam pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna dalam negeri," kata beliau.

Azalina berkata sebarang perjanjian atau kontrak sedia ada dan akan datang yang melibatkan Petronas atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan LNG merangkumi sektor huluan hingga pengeksportan LNG kekal terpelihara sepenuhnya, tidak terjejas dan akan terus berkuat kuasa.

"Petronas masih tetap berusaha untuk menyelesaikan perkara ini melalui pendekatan rundingan dan kolaboratif, dengan memastikan kepentingan semua pihak berkepentingan sentiasa terpelihara, di samping mengekalkan kestabilan serta kelestarian industri minyak dan gas negara keseluruhannya," katanya.

-- BERNAMA








#gas asli #Petronas #Azalina Othman Said #GSA