[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Gaza Art Auction 2025: Solidariti seniman rentas sempadan

Shafiqa Azami 24/09/2025 | 08:30 MYT
Lelongan kali ini menampilkan karya eksklusif artis kontemporari Malaysia termasuk Raja Shahriman, Anum, Awang Damit, Ahmad Zakii Anwar, Fadilah Karim, Umibaizurah Ismail, Zul Lee dan Kow Leong Kiang.
KUALA LUMPUR: Artis Malaysia dan Indonesia bergabung dalam lelongan amal Gaza Art Auction 2025, menjadikan seni sebagai medium solidariti merentas sempadan demi mengumpul dana kemanusiaan untuk rakyat Palestin.


Ringkasan AI
  • Gaza Art Auction 2025 yang dianjurkan oleh MERCY Malaysia akan berlangsung pada 28 September di MITEC, Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada CIMB Artober Art & Soul, melibatkan artis Malaysia dan Indonesia dalam usaha mengumpul dana kemanusiaan untuk Gaza.
  • Lelongan menampilkan karya eksklusif artis kontemporari Malaysia dan maestro Indonesia, termasuk sumbangan khas daripada Datuk M. Nasir, dengan hasil kutipan disalurkan kepada bantuan perubatan, kesihatan ibu dan anak, sokongan psikososial, keselamatan makanan dan pemulihan pertanian di Gaza.
  • Karya seni boleh ditonton lebih awal dari 25 hingga 28 September di CIMB Artober Fair, dan MERCY Malaysia menekankan penyertaan awam sebagai elemen penting dalam mengekalkan sokongan jangka panjang terhadap rakyat Gaza.


Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, berkata acara itu lebih daripada sekadar pameran seni.

“Ia adalah gerakan solidariti sejagat di mana artis, pengumpul dan dermawan bergabung untuk memberi respons kepada keperluan mendesak di Gaza. Setiap karya membawa kisah ketabahan dan harapan.

"Melalui lelongan ini, kita bukan sahaja mengumpul dana, tetapi juga menyemai maruah dan masa depan buat rakyat Gaza,” katanya.

Acara anjuran MERCY Malaysia itu akan berlangsung pada 28 September 2025 di MITEC, Kuala Lumpur, bersempena dengan CIMB Artober Art & Soul 2025 dengan kerjasama CIMB, Cult Gallery dan Henry Butcher.

Lelongan kali ini menampilkan karya eksklusif artis kontemporari Malaysia termasuk Raja Shahriman, Anum, Awang Damit, Ahmad Zakii Anwar, Fadilah Karim, Umibaizurah Ismail, Zul Lee dan Kow Leong Kiang.

Buat julung kali, ia turut mempersembahkan karya maestro Indonesia, Kartika Affandi dan Dyan Angraini, menjadikannya peluang langka bagi pengumpul seni memiliki karya bernilai sejarah dan budaya.

Sumbangan istimewa hadir daripada Datuk M. Nasir yang menawarkan salah satu karya asalnya untuk dilelong, selain koleksi album ditandatangani beliau yang didermakan oleh seorang pengumpul persendirian.

Hasil kutipan akan disalurkan kepada program kemanusiaan di Gaza termasuk bantuan perubatan kecemasan, kesihatan ibu dan anak, sokongan psikososial, keselamatan makanan dan pemulihan pertanian.

Tahun lalu, Gaza Art Auction berjaya mengumpul RM1.2 juta dalam satu malam, membolehkan MERCY Malaysia menghantar lima Pasukan Perubatan Kecemasan di bawah pensijilan WHO Emergency Medical Team Type 1 – Fixed.

Edisi 2025 membina momentum itu dengan seruan baharu agar rakyat Malaysia terus berdiri bersama Gaza.

Buat pertama kali, karya seni boleh ditonton lebih awal dari 25 hingga 28 September di CIMB Artober Fair di MITEC, memberi peluang kepada orang ramai menilai koleksi sebelum bidaan.

MERCY Malaysia, yang sudah lebih 15 tahun berkhidmat di Gaza, menegaskan penyertaan awam amat penting untuk mengekalkan sokongan jangka panjang.


#mercy malaysia #Gaza Art Auction 2025 #lelongan amal #kutipan Gaza