[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Bapa Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri – Semak Laporan Penuh Di Sini
NATIONAL

GCC alih tumpuan ke ASEAN, teroka peluang ekonomi baharu - Penganalisis

Shafiqa Azami 27/05/2025 | 11:00 MYT
ASEAN dan GCC dilihat berpotensi membentuk keseimbangan ekonomi baharu melalui gabungan kekuatan masing-masing. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kini mengorak langkah meneroka peluang ekonomi baharu dengan memberi tumpuan kepada ASEAN, susulan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua di Kuala Lumpur hari ini.


Ringkasan AI
  • Negara-negara GCC seperti Oman dan UAE menunjukkan minat serius untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan ASEAN, terutamanya dalam bidang ekonomi, melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua di Kuala Lumpur.
  • ASEAN dan GCC dilihat berpotensi membentuk keseimbangan ekonomi baharu melalui gabungan kekuatan masing-masing. ASEAN dalam teknologi hijau dan semikonduktor, manakala GCC sebagai pengeluar tenaga global.
  • Hubungan sejarah antara ASEAN dan dunia Arab menjadi asas penting kepada kerjasama moden yang lebih inklusif, namun pelaksanaannya perlu dirancang dengan teliti agar memberi manfaat menyeluruh kepada pembangunan serantau.


Felo Penyelidik di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Azwan Abd Rahman, berkata penyertaan negara-negara GCC seperti Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan kesungguhan untuk memperkukuh kerjasama strategik merentasi rantau Asia Tenggara.

Menurut beliau, sidang kemuncak tersebut memperlihatkan bahasa tubuh dan gestur yang positif dalam usaha kedua-dua blok membentuk perkongsian berterusan yang bersifat jangka panjang dan berdaya tahan.

“GCC dilihat menghalakan tumpuannya kepada rantau ASEAN. Ini merupakan satu perkembangan baik yang mampu membuka ruang kepada perkongsian ekonomi yang lebih dinamik,” katanya.

Muhammad Azwan turut menegaskan bahawa pendekatan ASEAN dalam menerima pelaburan luar perlu melalui proses penyaringan dan pelaksanaan yang teliti, agar manfaatnya dapat disalurkan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Kita bukan hanya nak terima pelaburan semata-mata. Kita nak pastikan ada penyaringan dan pelaksanaan yang akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat terbawah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ASEAN kini muncul sebagai pemain utama dalam bidang teknologi hijau dan semikonduktor, manakala GCC pula merupakan pengeluar tenaga global.


Katanya, gabungan kekuatan ini berpotensi mewujudkan keseimbangan ekonomi baharu.

“ASEAN boleh bertindak sebagai satu blok yang neutral. Kekuatan yang ada pada dua-dua blok – GCC dan juga China – ini boleh dimanfaatkan secara seimbang untuk ASEAN,” katanya lagi.

Mengulas hubungan antara ASEAN dan dunia Arab, Muhammad Azwan menjelaskan bahawa ia telah terjalin sejak berabad lalu menerusi pembawaan tamadun Islam ke rantau Nusantara.

Hubungan sejarah ini, katanya, perlu dijadikan asas kepada kerjasama ekonomi moden yang lebih inklusif dan saling menguntungkan.

Menurut beliau, meskipun kerjasama ini menunjukkan potensi besar dari segi pelaburan dan pengaruh strategik, pelaksanaannya perlu disokong dengan perancangan yang menyeluruh agar ia benar-benar memberi impak kepada pembangunan serantau.



#Dr Muhammad Azwan Abd Rahman #ASEAN25 #ASEAN 2025 #GCC