KUALA LUMPUR: Hujan lebat dipercayai mengakibatkan kejadian gelinciran cerun setinggi 30 meter berhampiran Pangsapuri Taman Cheras Mas di sini, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang bagi melakukan pemantauan.

"Pemantauan itu bertujuan memastikan tiada berlaku risiko bahaya kepada orang ramai selain bagi melakukan kerja-kerja memasang sawar di cerun itu untuk menghalang orang awam mendekati lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata jarak lokasi kejadian dengan pangsapuri berkenaan dianggarkan 30 hingga 45 meter, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

Menurut Wan Md Razali kes diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, penduduk pangsapuri berkenaan, Yong Ah Kew, 65 menyifatkan insiden itu antara yang serius selepas beberapa kejadian sama berlaku pada Jun lepas.

"Gelinciran tanah disedari mula berlaku pada pukul 2 dan 5 pagi tadi ketika saya sedang tidur apabila dikejutkan dengan dentuman kuat dan runtuhan batu," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian malam ini.

Lim Cheng San, 64, berkata dia hanya menyedari mengenai kejadian itu kira-kira 7 pagi tadi ketika hendak keluar membeli makanan.

Lim yang juga ketua blok pangsapuri terbabit berkata runtuhan kecil pernah berlaku di kawasan terbabit dan penduduk telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) untuk pemantauan.

"Ramai kanak-kanak selalu bermain berhampiran kawasan runtuhan pada waktu petang dan saya bersyukur kejadian ini tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa," katanya yang sudah lebih 10 tahun mendiami pangsapuri berkenaan.

-- BERNAMA