DUNGUN: Penduduk yang tinggal berhampiran sungai di Hulu Dungun akan dipindahkan lebih awal ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi gelombang ketiga banjir yang dijangka melanda Khamis ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tindakan itu diambil selepas model ramalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjangkakan kemungkinan berlakunya banjir pada 30 dan 31 Disember ini, selain untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

Menurut beliau, pemindahan tersebut turut melibatkan golongan bayi, kanak-kanak dan warga emas yang uzur.

Jelasnya lagi seramai 1,300 penduduk membabitkan 362 buah rumah dari tiga kampung yang berisiko banjir telah dikenal pasti.

Antaranya termasuklah Kampung Pasir Raja, Kuala Jengai dan Kampung Minda.

"Mereka ini akan dipindahkan awal, iaitu selewatnya-lewatnya pada pagi 30 Disember, mereka akan diarahkan untuk pindah keluar.

"OCPD akan menggerakkan bersama agensi lain iaitu pada hari esok (Rabu) akan memantau kawasan sekitar untuk mengenal pasti kawasan setempat dan penduduk kampung," katanya.

Rohaimi berkata sebanyak 27 buah bot dan 20 buah pacuan empat roda daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, serta orang ramai telah bersiap sedia untuk digerakkan ketika waktu banjir.

Dalam pada itu, segala aktiviti riadah dan aktiviti melibatkan di air seperti memancing, memukat, mahupun rekreasi dihentikan buat sementara waktu ketika musim tengkujuh.