KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan memaklumkan nilai R-naught (R0) gelombang ketiga COVID-19 yang sedang melanda negara kini telah turun kepada 1.3.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya kini sedang berusaha memastikan jangkitan COVID-19 di negara ini tidak meningkat dengan mendadak yang akan memberi kesan kepada nilai R0.

"Selepas R0 2.3, kita telah berjaya melandaikan hingga R0 hari ini ialah 1.3.

"Tindakan kesihatan awam sedang giat dijalankan di lapangan iaitu surveillance, pengesahan kontak, ujian kes menggunakan RTK-Antigen dan RT-PCR.

"Ia termasuk pengasingan kes dan juga rawatan di pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah serta di hospital untuk kes-kes tahap tiga, empat dan lima.

"Kawalan sempadan telah dipergiatkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kawalan lintas (rentas) daerah telah diperkenalkan di negeri Sabah," katanya pada sidang media harian pada Ahad.

Jelasnya, nilai R0 pada gelombang kedua jauh lebih tinggi iaitu 3.55 berbanding nilai R0 pada permulaan gelombang ketiga, iaitu pada kadar 2.3.