Gelombang Omicron telah bermula di Malaysia - KJ

Nickyson Nyambar
Januari 26, 2022 12:53 MYT
Sistem kesihatan sudah bersedia dalam mendepani gelombang Omicron dalam negara, kata Khairy. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Gelombang varian Omicron COVID-19 sudah bermula di Malaysia dan jumlah kes dijangka akan meningkat, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, menurut beliau, keadaan terkawal kerana sektor kesihatan sudah bersedia untuk berhadapan dengan situasi itu selain kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan rakyat.
"Gelombang Omicron bermula di Malaysia. Kes akan meningkat namun Insya-Allah terkawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi.
"Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini," katanya menerusi perkongsian di Twitter pada Rabu.

Gelombang Omicron bermula di Malaysia. Kes akan namun InsyaAllah terkawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi. Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama2 kita mengatasi gelombang ini. Mask. #TRIIS. Booster. #PICKids. https://t.co/KYLzwPon1w

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) January 26, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu pagi tadi, beliau berkesempatan bertemu dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus di Geneva, Switzerland bagi membincangkan pelbagai perkara merangkumi pengurusan pandemik COVID-19, peranti digital bagi beban penyakit tidak berjangkit (NCD) dan kesihatan mental.
Antara lain, perbincangan itu turut menyentuh mengenai kerjasama penyelidikan tingkah laku kesihatan dan sokongan bagi reformasi WHO.
"Pagi ini di Geneva, antara perkara yang dibincangkan adalah kadar vaksinasi Malaysia, mengetengahkan minat kita untuk menjadi hub vaksin dan melakukan jaminan bagi memastikan rakyat sihat dan bukan sekadar merawat mereka yang sakit," tambah beliau dalam perkongsian di Twitter.
Negara pada Rabu merekodkan 4,744 kes baharu COVID-19 dan menjadikan jumlah kumulatifnya kini meningkat kepada 2,844,969 kes setakat ini.
#COVID-19 #kesihatan #Menteri Kesihatan #Khairy Jamaluddin