Gelombang sejuk landa beberapa negeri di utara India, kabus jejas penerbangan, tren
Bernama
Januari 5, 2024 22:02 MYT
Januari 5, 2024 22:02 MYT
NEW DELHI: Gelombang sejuk melanda beberapa negeri di utara India, termasuk di New Delhi, pada Jumaat, menurut pegawai.
Kabus tebal di beberapa bahagian menyebabkan gangguan perjalanan trafik udara dan kereta api, lapor Xinhua.
Pada pagi Jumaat, stesen cuaca utama New Delhi di Safdarjung merekodkan suhu minimum 9.4 darjah Celsius, lebih sejuk daripada purata biasa pada 2.5 darjah Celsius.
"Keadaan sejuk hingga sejuk melampau mungkin berterusan di beberapa bahagian Punjab, Haryana, Chandigarh, New Delhi dan Rajasthan dalam tempoh dua hari akan datang sebelum turun dengan ketara selepas itu.
"Kabus tebal hingga sangat tebal berkemungkinan berterusan di barat laut India dalam tempoh dua hari akan datang dan beransur-ansur berkurangan selepas itu," menurut Jabatan Meteorologi India (IMD).
Gelombang sejuk pada Jumaat menyebabkan kelewatan perjalanan hampir dua dozen kereta api selain menjejaskan operasi penerbangan.
Pegawai berkata 22 kereta api dari dan ke New Delhi lewat berikutan keadaan berkabus manakala beberapa perkhidmatan lagi ditangguhkan melebihi empat jam.
"Operasi penerbangan ke dan dari Jaipur, Patna dan Amritsar terjejas akibat cuaca buruk," menurut syarikat penerbangan swasta IndiGo dalam satu kenyataan.
IMD berkata kabus tebal mungkin menjejaskan beberapa lapangan terbang, lebuh raya dan laluan kereta api di kawasan yang terjejas.
Seain itu, IMD berkata pendedahan terlalu lama kepada kabus tebal boleh menyebabkan masalah pernafasan bagi penghidap asma bronkitis dan masalah kesihatan lain yang berkaitan paru-paru.
-- BERNAMA