GADGETS

Gemini bakal kuasai Siri, Apple uji AI Google untuk World Knowledge Answers

Amanz 04/09/2025 | 06:30 MYT
Apple mula uji model AI Google Gemini untuk ciri World Knowledge Answers dalam bentuk teks, gambar, video dan peta. -Amanz
SEMASA diumumkan lebih setahun lalu, Apple Intelligence menjanjikan pengalaman penggunaan Siri yang lebih pintar, pengecaman objek lebih jitu dan semuanya dilakukan tanpa mendatangkan risiko kepada privasi data pengguna.


Ringkasan AI
  • Apple Intelligence ditangguhkan ke awal 2026 akibat isu dalaman dan kehilangan penyelidik.
  • Apple mula uji model AI Google Gemini untuk ciri World Knowledge Answers dalam bentuk teks, gambar, video dan peta.
  • Apple masih guna model sendiri untuk Siri dan pertimbang Gemini atau Claude untuk ciri perancangan.


Tetapi isu pergolakan dalaman dan kehilangan penyelidik kepada pesaing membuatkan ciri yang dijanjikan hanya akan mula ditawarkan awal tahun 2026.

Dalam laporan terkini Bloomberg pagi ini, Apple dikatakan akan mula menguji model kecerdasan buatan (AI) Google Gemini untuk menguasakan beberapa ciri pada peranti mereka.

Gemini dipercayai akan menguasakan ciri “World Knowledge Answers” dengan ia akan memberikan maklumat dan ringkasan janaan AI untuk carian dilakukan pengguna.

Ini akan ditawarkan dalam bentuk teks, gambar, video dan juga lokasi dalam peta. Ciri ini sudahpun ditawarkan pada peranti Android sejak tahun lalu menerusi Gemini Live.

Pada waktu yang sama Apple masih akan menggunakan model sendiri untuk ciri Siri yang memerlukan data pengguna diakses.

Mereka juga masih mempertimbangkan model Anthropic Claude dan Gemini untuk menguasakan ciri perancangan dalam Siri.

Sebagai pengguna Android dan Gemini Live setiap hari, saya merasakan implementasi Google adalah sangat berguna – khususnya Circle to Search – pada waktu yang sama beroperasi dengan pantas.

Ini amat berbeza dengan Visual Intelligence di iOS 26 yang perlahan dan tidak mesra pengguna.

Sementara itu integrasi ChatGPT dalam siri sejak setahun lalu masih sekadar melepaskan batuk di tangga sehingga saya tidak pernah bertemu pemilik iPhone yang mengaku menggunakannya setiap hari. -Amanz








#Android #Apple Intelligence #Google Gemini #World Knowledge Answers #kecerdasan buatan