MALAYSIA

Gempa bumi lemah gegar Segamat, Johor

Astro Awani 24/08/2025 | 00:00 MYT
Satu gegaran gempa bumi lemah dilaporkan berlaku di kawasan Segamat, Johor pada sekitar jam 6.13 pagi Ahad.
SEGAMAT: Satu gegaran gempa bumi lemah dilaporkan berlaku di kawasan Segamat, Johor pada awal pagi Ahad.

Menurut rekod, gegaran tersebut dapat dirasai sekitar jam 6.13 pagi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, beliau telah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi, dan setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.

“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan dengan teliti bersama agensi berkaitan.

"Saya juga menasihatkan rakyat agar menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial pagi ini.

Tambah beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus melakukan pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.



Dalam masa sama, Onn Hafiz turut mengajak rakyat untuk sama-sama berdoa agar negeri Johor dan seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.

Terdahulu, beberapa video memaparkan situasi gegaran berkenaan mula tular di media sosial sejak awal pagi.




#gempa bumi #gempa bumi Segamat #MetMalaysia #gempa bumi lemah