MALAYSIA

Gempa bumi Myanmar: ASEAN sedia menyelaras bantuan kemanusiaan

Nursyazwani Saiful Sham 28/03/2025 | 23:00 MYT
Para sukarelawan mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi di Naypyitaw, Myanmar. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota ASEAN menyampaikan ucapan takziah dan turut bersimpati terhadap rakyat Myanmar dan utara Thailand susulan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud yang melanda Myanmar pada Jumaat.

ASEAN dalam satu kenyataan berkata, bencana alam ini mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serta kemusnahan besar, khususnya di Mandalay, Nay Pyi Taw, Bangkok, Chiang Mai dan kawasan sekitarnya.

ASEAN turut menzahirkan solidariti bersama keluarga serta komuniti yang terjejas akibat gempa bumi ini.

ASEAN turut mengakui keperluan mendesak bagi bantuan kemanusiaan dan bersedia menyokong usaha pemulihan serta bantuan kecemasan berdasarkan keutamaan yang dikenal pasti oleh Myanmar dan Thailand.

Negara-negara anggota ASEAN juga akan bekerjasama rapat dalam menyelaras bantuan kemanusiaan, memudahkan operasi bantuan, serta memastikan tindak balas kemanusiaan yang cepat dan berkesan dengan bantuan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi pengurusan bencana (AHA Centre).







#gempa bumi #ASEAN #bantuan kecemasa #bencana