MALAYSIA
Gempa bumi Segamat: Jemaah cemas, ‘skirting’ siling terjatuh ketika solat Subuh

Seorang penduduk Kampung Tengah, Ahmad Asri Talib, 52, bercakap ketika ditemui pemberita berhubung berlakunya gegaran gempa bumi lemah awal pagi tadi. - Foto Bernama
SEGAMAT: Jemaah Surau Kampung Sanglang, Buloh Kasap, di sini berdepan detik cemas ketika menunaikan solat subuh apabila berlaku gegaran dan dentuman kuat sehingga menyebabkan 'skirting' siling surau itu terjatuh.
Ringkasan AI
- Jemaah Surau Kampung Sanglang, Buloh Kasap, berdepan detik cemas apabila gegaran dan dentuman kuat menyebabkan siling surau terjatuh ketika tahiyat akhir solat subuh.
- Penduduk sekitar mendakwa gegaran pernah berlaku tahun lalu, namun gegaran kali ini lebih kuat dan dirasai selama kira-kira 20 saat, termasuk gegaran susulan pada jam 9 pagi.
- Penduduk berharap pihak berkuasa memasang sistem pengesanan awal gempa sebagai langkah keselamatan susulan kejadian yang berulang di kawasan tersebut.
Sementara itu, penduduk di sekitar kawasan Buloh Kasap di sini mendakwa ia bukan kejadian gegaran pertama berlaku di situ.
Menurut penduduk, kejadian sama pernah terjadi tahun lepas namun tidak sekuat gegaran pagi tadi.
Penduduk, Ahmad Asri Talib, 52, berkata dia menyedari berlaku gegaran sekitar 6.15 pagi yang bermula dengan letupan kuat sebelum rumahnya, di Taman Pawana, Kampung Tengah, seolah-olah digoncang.
Katanya, tidak lama selepas itu dia mendengar suara riuh-rendah penduduk sekitar perumahan yang agak terkejut dengan kejadian itu.
"Walaupun gegaran tidak lama tetapi semuanya bergegar termasuk tingkap dan pintu. Agak-agak 20 saat gegaran itu berlaku, pintu gelangsar rumah saya seperti ditendang.
"Kejadian seperti ini mengingatkan saya perkara yang sama tahun lepas...gegaran berlaku beberapa kali pada bulan yang sama (Ogos), cuma tarikhnya tak berapa nak ingat," katanya.
Ahmad Asri berkata dia juga tidak menyangka berlaku gegaran seterusya pada 9 pagi ketika berada di sebuah kedai makan di Pekan Jabi untuk bersarapan
Dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan memasang alat pengesan gempa bumi sebagai langkah awal mengesan sebarang gegaran di Segamat.
MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1 pada skala Richter, disusuli gegaran lemah kedua pada 9 pagi d Yong Peng, kira-kira 28 kilometer dari Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami