Gempa bumi Turkiye: Cuaca sejuk bukan halangan buat Frankie, Dentie kekal prestasi cemerlang

Hilmi Malik
Februari 14, 2023 05:12 MYT
Frankie masih dalam keadaan yang cukup bertenaga meskipun ditugaskan dalam iklim yang jauh berbeza dari Malaysia. - Foto Astro AWANI
GAZIANTEP: Cuaca sejuk yang agak ekstrem tidak menjadi penghalang buat pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk terus menampilkan prestasi cemerlang bagi misi SAR di Turkiye.
Dua anjing K9 yang terkenal dengan rekod cemerlang sewaktu penugasan tragedi tanah runtuh Batang Kali sebelum ini tetap kekal dengan momentum yang sama di bumi yang sedang dilanda bencana gempa bumi itu.
Bahkan, kedua-dua mereka yang dikenali sebagai Frankie dan Dentie masih menyumbang kepada kejayaan penemuan 10 mayat mangsa gempa bumi yang tertimbus di bawah sisa runtuhan.
Menurut pengendali Unit K9 JBPM, Thivaragan Yutaman, Frankie misalnya masih dalam keadaan yang cukup bertenaga meskipun ditugaskan dalam iklim yang jauh berbeza dari negara asal.
“Frankie masih boleh serasi dengan cuaca sejuk dan cabarannya memang agak tinggi… kita sendiri pun bertugas dalam keadaan yang mencabar tetapi dia (Frankie) dalam apa jua situasi pun dia masih boleh buat kerja (misi SAR).
“Kita tempatkan Frankie di empat seksyen (lokasi pencarian) dan dia berjaya temukan empat mayat mangsa setakat ini dan selebihnya merupakan dari Dentie,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.
Tambahnya lagi, pihak veterinar juga turut membuat semakan dan saringan kesihatan di pangkalan mereka bagi memastikan tahap kesihatan kedua-dua mereka sentiasa dalam keadaan yang terbaik sepanjang terlibat dengan misi SAR.
Buat masa ini, penugasan Frankie dan Dentie tertumpu di daerah Nurdagi, Gazientep dimana ia merupakan lokasi yang lebih 90 peratus bangunannya musnah.
Dua anjing pengesan itu sememangnya mempunyai kepakaran dan dilatih secara khusus bagi misi SAR.
Kedua-dua mereka yang kini dianggap wira negara merupakan antara kumpulan kedua yang diterbangkan ke Turkiye bagi menyertai serta menambah kekuatan operasi SAR di Turkiye.
Setakat ini, angka korban bagi bencana gempa bumi di Turkiye telah meragut lebih 30,000 nyawa sementara ribuan lagi mangsa lain yang cedera.
Sejarah hitam yang berlaku di Turkiye ini merupakan rekod terburuk berlaku sejak kali terakhirnya tercetus pada 20 tahun lalu.

*Wartawan penyiaran Astro AWANI, Hilmi Malik berada di Gaziantep, Turkiye untuk misi kemanusiaan bersama NGO, Global Peace Mission
#Gempa bumi Turkiye #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Frankie Dentie #gempa turkiye