SEPANG: Hospital Medan Malaysia (HMM) yang akan dibina di Turkiye untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada mangsa gempa bumi di negara itu dijangka beroperasi Rabu depan.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom berkata HMM akan menawarkan perkhidmatan perubatan bagi Tahap 1 dan 2, termasuk pembedahan.

Beliau berkata kumpulan pertama kini menunggu arahan untuk pergerakan ke kawasan bencana bagi mendirikan HMM di Celikhan, Adiyaman.

"Semalam, kumpulan kedua melibatkan seramai 34 pegawai dan anggota telah berlepas menggunakan pesawat Turkish Airlines dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 10.44 pagi tadi (waktu tempatan).

"Kumpulan kedua akan menunggu ketibaan kumpulan ketiga dan bersama-sama menaiki pesawat A400M ke Lapangan Terbang Gaziantep seterusnya melalui jalan darat ke lokasi HMM ditempatkan," katanya.



TURKIYE-ATM (HOSPITAL) 2 SEPANG



Noor Mohamad Akmar berkata demikian pada sidang media atur gerak kumpulan terakhir Op Starlight II Angkatan Tentera Malaysia melibatkan 41 petugas Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini malam ini.

Beliau berkata elemen logistik perubatan pula melibatkan sebanyak 7.3 tan aset dan diterbangkan ke Turkiye menggunakan pesawat MASkargo.

"HMM dijangka mengambil masa kira-kira enam minggu berada di Turkiye namun tempohnya akan dipanjangkan jika perlu dan bergantung pada situasi.

"HMM akan ditempatkan di Celikhan iaitu 152 kilometer dari Gaziantep yang merupakan kawasan paling teruk terjejas," katanya.

Noor Mohamad Akmar berkata HMM akan mendapatkan bantuan koordinasi daripada kerajaan Turkiye, Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.



TURKIYE-ATM (HOSPITAL) 3 (AKHIR) SEPANG



Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri Datuk Zahairi Baharim pula berkata 16 rakyat Malaysia yang berada di Gaziantep disahkan selamat dengan lapan daripada mereka telah keluar dari lokasi gempa bumi manakala lapan lagi membantu pasukan penyelamat Malaysia.

"Kebanyakan mereka bekerja di Gaziantep dan hanya seorang yang akan pulang ke tanah air pada 14 Feb ini," katanya.

Mengulas keadaan 28 pelajar Malaysia yang berada di Syria susulan bencana itu, beliau berkata mereka berada di bandar dan tidak terjejas.

Angka korban akibat gempa bumi di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang manakala jumlah mangsa yang cedera ialah 40,910 setakat ini.

Pada Selasa lepas, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi mencari dan menyelamat berjalan lancar.

-- BERNAMA