MALAYSIA

Gempa Segamat: Tiada kerosakan fasiliti PETRONAS dilaporkan

Bernama 28/08/2025 | 07:37 MYT
Mohamad Fazli berkata pihaknya kini menunggu laporan penuh daripada PETRONAS dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan struktur fasiliti serta infrastruktur awam berada dalam keadaan baik.
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor belum menerima sebarang laporan daripada PETRONAS Gas Berhad (PGB) berhubung dengan sebarang kerosakan melibatkan fasiliti syarikat itu setakat ini, susulan kejadian gempa bumi lemah yang melanda Segamat, pagi semalam.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Johor belum menerima laporan kerosakan daripada PETRONAS Gas Berhad susulan gempa bumi lemah di Segamat, dan masih menunggu laporan penuh daripada agensi berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia.
  • Pemantauan awal terhadap aset kerajaan negeri seperti jalan raya, bangunan JKR, JPS dan empangan tidak menunjukkan kerosakan struktur, namun laporan lanjut daripada agensi lain seperti sekolah dan hospital masih dinantikan.
  • Kerajaan negeri bergantung kepada pakar dari Jabatan Mineral dan Geosains serta MetMalaysia untuk penilaian lanjut kerana belum memiliki peralatan pengesanan gegaran menyeluruh, dan tindakan penambahbaikan akan diputuskan selepas laporan lengkap diterima.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pihaknya kini menunggu laporan penuh daripada PETRONAS dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan struktur fasiliti serta infrastruktur awam berada dalam keadaan baik.

"Kita faham laporan mengenai fasiliti paip gas bawah tanah ini menjadi kerisauan penduduk dan setakat ini, kita belum terima apa-apa laporan daripada pihak PETRONAS (mengenai kerosakan fasiliti mereka), sama ada berlaku pergerakan (tanah) dan sebagainya.

"Kita masih menunggu laporan lengkap daripada semua agensi berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk melihat sekiranya ada langkah penambahbaikan yang diperlukan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan JBC Pothole Pro pada Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Terkini Jalan Negeri Johor di Persiaran Laksamana Kota Iskandar, Iskandar Puteri, di sini.

Mohamad Fazli berkata pemantauan awal terhadap aset kerajaan negeri termasuk jalan raya, bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta empangan di kawasan terlibat setakat ini tidak menunjukkan sebarang kerosakan.

"Mungkin ada retakan kecil, tetapi tidak melibatkan struktur. Cuma untuk sekolah, hospital, klinik dan sebagainya di bawah agensi lain, kita masih tunggu laporan daripada jabatan masing-masing sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga kini bergantung pada laporan pakar daripada agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta MetMalaysia memandangkan peralatan pengesanan gegaran khusus belum dimiliki.

"Kita belum ada alat mengesan pergerakan tanah secara menyeluruh, JKR ada alat pengesanan pergerakan tanah, tetapi untuk cerun. Pemantauan sedia ada hanya untuk kawasan cerun menggunakan teknologi yang ada sekarang," katanya.

Menurut Mohamad Fazli, sebarang tindakan penambahbaikan akan diputuskan selepas laporan penuh diterima daripada semua pihak dan agensi berkaitan.

Semalam, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 pada skala Richter berlaku di Segamat pada 8.59 pagi, dengan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.

Pada 24 Ogos lepas, MetMalaysia mengesahkan dua kejadian gempa bumi lemah, masing-masing berukuran 4.1 pada skala Richter di Segamat pada 6.13 pagi dan magnitud 2.8 di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang pada 9 pagi.

-- BERNAMA



#gempa segamat #Malaysia #gempa bumi #Petronas