Gempa Turkiye: Pakar perubatan Malaysia tersentuh pengorbanan dihargai
Hilmi Malik
Februari 18, 2023 15:30 MYT
Februari 18, 2023 15:30 MYT
KAHRAMANMARAS: Kepakaran yang diperoleh dalam bidang perubatan sememangnya bersifat sejagat, dan manfaatnya tidak terbatas untuk hanya dipraktikkan di tanah air sendiri.
Tragedi gempa bumi Turkiye yang mendapat perhatian dunia telah membuka hati salah seorang pakar perubatan Malaysia untuk menyumbang khidmat di negara yang sedang berdepan impak bencana itu.
Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Anhar Kamarudin berkata, segala penat lelah yang dirasai para petugas perubatan hilang apabila pengorbanan yang dilakukan itu dihargai.
“Ada satu masa, seorang askar datang bertemu kami dan memberitahu di Turkiye ini doktor merupakan satu amanah.
“Setelah mereka tahu kami dari Malaysia, mereka juga anggap kami sebagai satu amanah untuk bantu rakyat di negara ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Dr Anhar dalam pada itu menzahirkan rasa syukur kerana aspek kebajikan kumpulan petugas perubatan Malaysia di Turkiye juga bukan perkara yang perlu dibimbangkan.
Malah, kehadiran mereka ke negara berkenaan juga mendapat sambutan yang amat positif.
Secara keseluruhan, beliau antara sembilan pegawai perubatan yang sedang bertugas di Kahramanmaras, Turkiye untuk merawat mangsa gempa bumi.
Daripada jumlah itu, tiga pegawai perubatan merupakan mereka yang sememangnya menjalankan khidmat di Turkiye sebaik sahaja tamat pengajian.
Dr Anhar ditempatkan di salah satu kawasan perkhemahan di Karahmanmaras untuk memberikan rawatan klinikal.
Ini termasuk bekalan ubat-ubatan yang ditempatkan di dalam khemah khas bagi tujuan rawatan secara harian.
Bercakap mengenai kes kritikal, beliau menyatakan pesakit akan terus dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Dr Anhar bersama pasukan MERCY Malaysia telah memulakan tugas sejak 11 Februari lalu.
Kesemua mereka dijangka pulang pada 22 Februari untuk kembali bertugas di PPUM.