ISTANBUL: Tragedi gempa bumi yang melanda bumi Turkiye dan Syria serta mengorbankan lebih 50,000 nyawa setakat ini turut mendapat perhatian Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan berangkat ke negara itu bagi menyalurkan bantuan menerusi Misi Kemanusiaan Turkiye 2023.

Misi yang berlangsung selama 10 hari bermula pada 26 sehingga 7 Mac itu disertai enam sukarelawan MyCARE termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

Kamal Nasharuddin berkata objektif utama MyCARE di Turkiye adalah bagi menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, pakaian, makanan dan minuman serta peralatan keperluan asas seperti alat pemanas dan khemah.

"Ini adalah misi kemanusiaan MyCARE bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa yang berlaku di selatan Turkiye dan utara Syria pada 6 Feb lepas.

"MyCARE telah melancarkan tabung kutipan derma untuk membantu mangsa gempa dan alhamdulillah MyCARE telah berjaya kutip RM1.1 juta dan telah diagihkan secara berperingkat kepada mangsa di Turkiye dan Syria melalui rakan NGO di sini iaitu ATAA Relief," katanya.

Kamal Nasharuddin berkata demikian kepada Bernama TV setibanya di Istanbul, Turkiye semalam (26 Feb).

Menurutnya bantuan fasa pertama oleh MyCARE, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Malaysia, berbentuk kewangan dan bantuan lain bernilai RM200,000 telah pun diagihkan pada 8 Feb lepas melibatkan 676 keluarga.

Katanya bantuan itu kemudiannya diteruskan pada fasa kedua melibatkan 10,500 individu daripada 430 keluarga.

Kamal Nasharuddin berkata bagi bantuan fasa ketiga ini, sebanyak RM350,000 lagi akan disalurkan kepada mangsa gempa bumi dengan bantuan NGO Turkiye, ATAA Relief.

"Kali ini rombongan MyCARE datang sendiri ke Turkiye dan Syria untuk menyampaikan lagi bantuan tambahan kepada mangsa dalam bentuk pakaian, makanan, khemah, alat pemanas dan sebagainya.

"Kami juga ingin melihat keadaan semasa bagi menilai bantuan tambahan yang lain selain membina jaringan bersama NGO tempatan dan NGO luar negara untuk melihat ruang kerjasama yang kami boleh lakukan untuk terus membantu mangsa gempa di selatan Turkiye dan Syria," jelasnya.

Pada 6 Feb lepas gempa bumi 7.4 magnitud telah melanda Kahramanmaras, Turkiye disusuli beberapa siri gegaran susulan berukuran 6.4 magnitud di wilayah sempadan Turkiye-Syria pada 20 Feb, serta gempa bumi bermagnitud 5.8 beberapa minit kemudian yang berpusat tidak jauh dari gegaran pertama di wilayah Hatay, Turkiye.

Setakat hari ini, lebih 50,000 kematian telah dilaporkan di Turkiye dan Syria dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sebanyak US$1 bilion diperlukan bagi membantu mangsa yang terkesan.

-- BERNAMA