Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Gencatan senjata buka peluang GSF masuk Gaza melalui darat - Aktivis

Bernama 09/10/2025 | 10:45 MYT
Sukarelawan Global Sumud Flotilla, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik dan Asmawi Mukhtar disambut semasa tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini. - Foto Bernama
KUALA NERUS: Pengumuman gencatan senjata dan pembebasan tawanan di Semenanjung Gaza memberi sinar harapan baharu kepada peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menyambung usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.


Ringkasan AI
  • Gencatan senjata Gaza beri harapan baharu kepada peserta misi GSF untuk terus menyalurkan bantuan kemanusiaan, berpotensi melalui laluan darat selepas sebelum ini dihalang Israel.
  • Dua aktivis Malaysia tiba di Terengganu disambut lebih 1,000 orang, sambil berharap sembilan aktivis lain yang ditahan rejim Zionis segera dibebaskan.
  • Peserta tekad terus perjuangkan isu Gaza, menegaskan usaha kemanusiaan tidak boleh dihentikan demi maruah bangsa dan agama.


Peserta misi, Muhammad Abdullah, 32, atau dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik berkata perkembangan itu memberikannya keyakinan bahawa peluang selepas ini akan lebih cerah untuk memasuki Gaza melalui laluan darat selepas sebelum ini dihalang rejim Israel.

"Insya-Allah kalau dibenarkan, kami semua 23 orang akan pergi lagi membantu rakyat Palestin. Kalau tak boleh ikut jalan laut, kita usaha ikut jalan darat," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Beliau bersama seorang lagi aktivis asal Terengganu, Mohd Asmawi Mukhtar, 52, tiba dari Kuala Lumpur dan disambut lebih 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat serta orang ramai yang hadir memberikan sokongan.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Israel dan Hamas bersetuju memeterai fasa pertama perjanjian damai yang membolehkan pembebasan tebusan Israel.

Muhammad yang mengasas sebuah madrasah al-Quran di Kampung Dura, Hulu Terengganu, turut menzahirkan harapan agar sembilan aktivis Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang ditahan rejim Zionis semalam, segera dibebaskan dan pulang dengan selamat.

"Kalau kita berhenti bercerita tentang derita Gaza, itu bermakna kita memberi kemenangan kepada musuh. Jangan sesekali hentikan -- terus sebarkan demi kemanusiaan, agama dan maruah bangsa," tegasnya.

Sementara itu, Mohd Asmawi yang terharu dengan sambutan rakyat Terengganu berkata meskipun mengharungi pelbagai kesusahan sejak bermula pelayaran sehingga berada dalam tahanan tentera Israel, beliau tetap berazam untuk meneruskan hasratnya membantu penduduk Gaza selepas ini.

"Memang mental diuji sejak mula pelayaran lagi, tetapi Ustaz Mad sentiasa beri kami kekuatan dan kirim doa melalu kumpulan WhatsApp. Itulah yang menjadi penguat semangat saya ketika hampir berputus asa," katanya.

-- BERNAMA




#Global Sumud Flotilla #gencatan senjata #bantuan kemanusiaan #Gaza #Israel #Ustaz Mad Kecik