MALAYSIA

Generasi muda pemacu masa depan negara - Lim San Shien

Kabeer Aziz 16/09/2025 | 04:00 MYT
Lim San Shien berkongsi pandangan tentang peranan belia dalam memimpin perpaduan dan memperkasakan Bahasa Melayu sempena Hari Malaysia, ketika ditemu bual dalam rancangan AWANI Pagi.
KUALA LUMPUR: Masa depan negara yang cemerlang bergantung kepada generasi muda yang bersedia memimpin dengan prinsip, adab, dan keterbukaan terhadap kepelbagaian idea.


Ringkasan AI
  • Lim San Shien menekankan kepentingan prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam membentuk masyarakat majmuk yang beradab dan terbuka terhadap kepelbagaian idea.
  • Beliau menggesa golongan muda memperbanyakkan wacana santai tetapi berkesan mengenai perpaduan untuk menyemai kefahaman dalam masyarakat.
  • San Shien menyeru belia menjadi teladan dalam penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan indah, khususnya di media sosial, sebagai asas membina negara berdaulat.


Peguam dan ikon Bahasa Melayu, Lim San Shien, menegaskan bahawa prinsip “setuju untuk tidak bersetuju” perlu diamalkan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Katanya, perbezaan pendapat yang disertai dengan adab dan nilai intelektual mampu menggerakkan masyarakat ke hadapan.

“Kita perlu ada prinsip yang meraikan kepelbagaian idea. Setuju untuk tidak bersetuju. Kita mesti ada adab dalam berbeza pendapat. Itulah yang mendorong kemajuan masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menggesa golongan belia agar memperbanyakkan diskusi ilmiah mengenai perpaduan, dengan pendekatan santai tetapi berkesan supaya mesej dapat disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat.

Dalam temu bual bersama AWANI Pagi sempena sambutan Hari Malaysia, San Shien turut menekankan bahawa pemerkasaan Bahasa Melayu dalam kalangan belia merupakan tunjang utama dalam membina negara yang berdaulat.

Sebagai tokoh Bahasa Melayu, beliau percaya anak muda perlu menjadi penggerak dalam membentuk naratif penggunaan bahasa yang mampan, khususnya di media sosial.

“Kita perlu menjadi teladan kepada orang lain dengan menunjukkan kepimpinan melalui penggunaan tatabahasa dan gaya bahasa yang betul. Kita juga perlu mempromosikan keindahan Bahasa Melayu dan mendidik masyarakat dengan adab,” jelasnya.

Lim San Shien menutup perbincangan dengan menyeru agar golongan muda tampil sebagai ikon perpaduan rakyat Malaysia demi masa depan negara yang maju dan saksama.






#Belia #Hari Malaysia #perpaduan #Bahasa Melayu