KAJANG: Seramai empat individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan dan pecah premis perniagaan, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua individu berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan secara berasingan di Taman Kasturi Cheras dan Persiaran Tasik Kesuma Beranang.

"Kita telah menemui sebuah van jenis Toyota Vanette dan dua motosikal jenis Honda EX5.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan itu dilaporkan hilang di Kajang dan Batu 14 di sini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaid berkata, pihaknya juga menemui peralatan dapur di dalam van berkenaan yang disyaki hasil kegiatan jenayah pecah premis perniagaan.

"Kesemua individu itu telah dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan selanjutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Zaid menasihatkan orang ramai, sekiranya terdapat sebarang maklumat jenayah atau kemalangan boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang atau balai polis berhampiran.


*Berita asal di Sinar Harian