PUTRAJAYA:Empat lelaki yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) ditahan reman enam hari kerana dipercayai meminta suapan sebanyak RM60,000 untuk menyelesaikan satu kes siasatan membabitkan pasukan penguatkuasaan itu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Rahim mulai hari ini hingga 22 Disember depan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM dijalankan.

Sumber memberitahu, tiga lelaki berusia 39 hingga 54 tahun termasuk perancang utama yang dikenali sebagai 'Datuk Roy' ditahan hasil perangkap yang diatur pasukan itu di sebuah hotel di Putrajaya kira-kira pukul 4.30 petang Rabu.

Siasatan awal mendapati 'Datuk Roy' mengaku dirinya Pengarah SPRM kepada pengadu. 

Sementara seorang lagi suspek ditahan di rumahnya di Melaka kira-kira empat jam kemudian.






"Keempat-empat lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya itu meminta wang rasuah kononnya bagi menukarkan pertuduhan ke atas pengadu kepada seksyen kesalahan yang lebih ringan dan membuka semula akaun pengadu yang dikatakan dibekukan oleh SPRM," katanya di sini, pada Khamis.

Sumber memberitahu, hasil risikan juga mendapati ahli kumpulan ini melibatkan seorang pemilik syarikat, seorang pengarah syarikat dan dua orang awam sanggup memasuki bangunan Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil gambar bagi menyakinkan pengadu bahawa mereka adalah pegawai SPRM.

"Kesemua pergerakan mereka dirakam CCTV Ibu Pejabat SPRM," tambahnya.

Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan, SPRM sedang mengesan seorang wanita yang merupakan ahli kumpulan itu bagi membantu siasatan.

Identiti wanita itu katanya, telah dikenal pasti dan gerakan mengesannya sedang giat dijalankan.

Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman yang mengesahkan tangkapan itu mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan mana-mana individu yang menyamar sebagai pegawai SPRM bagi meminta wang rasuah untuk menyelesaikan kes.

"Kegiatan menyamar sebagai pegawai SPRM ini dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini memandangkan tindakan tegas SPRM menerusi pelbagai operasi yang dijalankan dalam tahun ini.

"Akan ada individu yang mengambil kesempatan menyamar dan meminta wang daripada orang ramai. Ini merupakan satu bentuk scam yang sedang berlaku," jelasnya.