KUALA BERANG: Polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di sekitar daerah Hulu Terengganu susulan penangkapan tiga sekeluarga yang dikenali sebagai 'Geng Fahmi'.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di kawasan Pudu, Kuala Lumpur dan Kampung Temala di Marang pada Sabtu dan semalam.

Katanya dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur selepas selesai menjalankan urusan jual beli barang kemas kepada seorang ejen.

"Pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 28 dan 38 tahun. Mereka bekerja sendiri dengan membuka pusat mencuci kereta dan butik kecantikan.

"Suspek utama lelaki yang ditahan di kediamannya di Kampung Temala di Marang berusia 28 tahun dan beliau merupakan adik kepada suspek perempuan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

Pecah Rumah | Polis Terengganu tumpaskan sindiket Geng Fahmi


Menurut Mohd Adli, susulan kedua-dua serbuan tersebut polis turut merampas pelbagai barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM100,000.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati suspek utama kes tersebut mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan baru sahaja dibebaskan dari penjara Januari lepas atas kesalahan kes dadah.

"Suspek pasangan suami isteri tersebut pula tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya menambah ketiga-tiga suspek kini direman empat hari bermula Sabtu.

-- BERNAMA