[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Geng Kavi aktif curi kabel KTMB tumpas

Bernama 16/12/2025 | 06:20 MYT
Suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula 11 hingga hari ini, bagi membantu siasatan. - Gambar hiasan
SUNGAI PETANI: Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selepas menahan enam lelaki dipercayai ahli Geng Kavi dalam serbuan, Khamis lepas.


Ringkasan AI
  • Polis menahan enam lelaki ahli Geng Kavi yang terlibat dalam mencuri kabel KTMB di Kuala Muda.
  • Suspek-suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah dalam masa lampau.
  • Modus operandi Geng Kavi termasuk merosakkan pagar KTMB, mencuri kabel, dan menggunakan peralatan seperti kapak dan gergaji besi.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata enam anggota kumpulan berkenaan terdiri daripada mereka berusia 27 hingga 51 tahun, aktif melakukan kegiatan jenayah berkenaan di sekitar Kuala Muda dan dipercayai terlibat dalam lima kes memotong dan mencuri kabel KTMB.

"Polis turut merampas pelbagai jenis peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel, lapan gulung kabel KTMB, sebuah motosikal dan sebuah kereta," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata semakan rekod jenayah lampau mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.

Menurutnya, ketua kumpulan yang juga suspek utama berusia 38 tahun, didapati mempunyai 30 rekod termasuk 12 berkaitan jenayah dan 18 berkaitan dadah.

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Hanyan berkata modus operandi Geng Kavi ialah menggunakan sebuah kereta bagi memudahkan pergerakan dan menyimpan peralatan serta kabel yang dicuri.

"Mereka menggunakan peralatan khas seperti kapak, tukul besi, mesin pengisar, pemotong dan gergaji besi. Mereka merosakkan pagar milik KTMB, masuk ke kawasan landasan dan mencuri kabel yang berada di dalam manhole," katanya.

Katanya, suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula 11 hingga hari ini, bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA





#kes curi kabel #KTMB #Geng Kavi #Kedah